Tuah sotong kurita

Oleh Abd Nasir Wahab dan Zulhilmi Hat
  • Foto
  • Mohamad Saiful Azmi mencium ikan kerapu yang melayakan beliau muncul juara Kategori Laut Dalam pada Karnival GP Joran Berita Harian 2011 di Tanjung Leman, Mersing.
  • Foto
  • Ab dul Rahman (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada Mohd Ariffin (tengah) sambil diperhatikan Kamaruzzaman (kiri), Mior Kamarul Shahid (dua kanan) dan Pengarah Urusan JCorp, Damansara Assets, Abdul Malek Talib(kanan) pada majlis penyampaian hadiah Karnival GP Joran Berita Harian 2011.

SEEKOR kerapu seberat 15.22 kilogram yang membaham umpan kurita hidup yang dibeli dari Pelabuhan Klang menukar tuah juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Mohamad Saiful Azmi Hamzah, 31, yang muncul juara kategori laut dalam di Karnival GP Joran, Tanjung Leman, Ahad lalu.

Kerapu besar yang membawa habuan RM20,000 selaku juara, jelas rezeki istimewa buatnya kerana ikan itu menyambar umpan selepas dua jam acara bermula ketika bot yang dinaiki bersama tujuhrakan lain menuju Pulau Yu.

“Sotong kurita yang saya gunakan sebenarnya sukar dicari jika tidak kena pada keadaan cuaca pada masa ini. Untuk mendapatkannya saya terpaksa memesan seminggu lebih awal daripada penjual umpan di sekitar Pelabuhan Klang.

“Selain memberikan bau semula jadi kepada pemangsa, warna sotong kurita yang bersinar-sinar dalam air berfungsi menarik perhatian ikan untuk memakannya,” katanya yang sudah tiga tahun menyertai pertandingan memancing anjuran Unit Joran Berita Harian.

Menceritakan lanjut pengalaman menaikkan kerapu naga terberat dan sekali gus membawa beliau menjuarai pertandingan ini, Mohamad Saiful berkata, joran yang baru diletak tidak sampai setengah jam selepas tekong berlabuh di Pulau Yu terus disergap ikan.

“Baru dua jam berlepas dari Jeti Tanjung Leman menuju ke Pulau Yu, sotong kurita yang direndam terus membuka selera kerapu untuk menjamahnya,” katanya.

Beliau mengakui akan menggunakan sebahagian wang kemenangan ini untuk keluarganya dan selebihnya dibuat kenduri doa selamat.
Sementara itu, juara Kategori Pantai milik pengurus perkapalan, Mohd Ariffin Selamat,39, dari Terengganu, yang menaikkan ikan pari seberat 12.11 kg, sekali gus membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan.

Beliau yang menggunakan gelama hidup sebagai umpan terakhir selepas kehabisan umpan manakala masa memancing masih berbaki dua jam sedangkan dirinya bergelut menahan rasa pening akibat cuaca panas.

“Joran sepanjang 15 kaki milik saya terus melentur ganas yang menandakan ikan sudah memakan umpan.

“Kira-kira setengah jam menggarau ikan ke pantai, akhirnya ikan pari terjerat dengan umpan gelama hidup sekali gus membantu saya menjadi juara kategori pantai,” katanya.

Beliau mengakui hadiah kemenangan itu mungkin rezeki anak bongsunya, Putri Nor Erina yang berusia lima bulan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pegawai Daerah Mersing, Abdul Rahman Dewam. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP), Kamaruzzaman Abu Kassim.

Kategori Khas Laut Pari dimenangi Muhammad Hazwan Harudin yang menaikkan ikan seberat 36.35 kilogram dan RM1,000, manakala kedua, Busu Johan ikan seberat 28.48 kilogram bagi meraih RM500, manakala tempat ketiga menjadi milik M Razali Abdul Rahman dengan RM300.

Pusingan kedua Karnival GP Joran Berita Harian 2011 berlangsung serentak dengan Karnival Tanjung Leman, mendapat kerja sama kerajaan Johor, Jabatan Pelancongan Johor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

JCORP dan anak syarikatnya, Damansara Assets Sdn Bhd, memberi sokongan padu selaku penaja eksklusif manakala Perusahaan Otomobil Kedua (PERODUA) selaku penaja utama keseluruhan karnival GP Joran 2011.

Posted May 20, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: