Pantang larang pungut madu

Oleh Suliati Asri
TINGGI...pokok tualang yang menyamai ketinggian bangunan 10 tingkat.
TINGGI…pokok tualang yang menyamai ketinggian bangunan 10 tingkat.

DISENGAT tiga lebah memang menyakitkan selain pengalaman menolak sampan di kawasan air cetek dan meredah sungai serta jeram dalam cuaca panas sesuatu yang tidak akan dilupakan.

Itulah antara pengalaman penulis bersama rombongan Ekspedisi Madu Lebah Ulu Muda dan Tourism Malaysia.

  • Foto
  • BANYAK…sarang lebah yang penuh madu.
  • Foto
  • MANUAL…pemprosesan madu tualang dilakukan secara manual bagi menjaga kebersihan dan khasiatnya.
  • Foto
  • PUAS…pemungut madu bergambar selepas selesai menjalankan tugas mereka.
  • Foto
  • MENCABAR…sampan ditolak berikutan air sungai yang deras dan jeram berbahaya.
  • Foto
  • SUKAR…memasang sigai mengambil masa yang lama dan sukar.
  • Foto
  • MENCABAR…sampan yang digunakan hanya boleh menampung empat orang termasuk pengendali.
  • Foto
  • REDAH…peserta meredah sungai kerana air cetek.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Persekutuan Malaysia (Fama) dengan kerjasama Tourism Malaysia Kedah dan Mada memang mengujakan.

Pokok tualang yang menanti rombongan ekspedisi itu adalah yang terakhir kerana musim memungut madu lebah berakhir bulan ini.

Sebelum memulakan ekspedisi, sesi taklimat diadakan di Hotel Star City, Alor Setar.

Ia bukanlah ekspedisi biasa kerana banyak pantang larang yang perlu dipatuhi antaranya lebah itu perlu disebut ‘hitam manis’.

Seawal jam 7.30 pagi, kami berkumpul di lobi hotel dan bertolak ke Pejabat Fama Kuala Nerang sebelum ke Jeti Empangan Sungai Muda.

Mengikut jadual ekspedisi, kami perlu meninggalkan jeti pada jam 10 pagi dan tiba di tapak perkhemahan pada 12 tengah hari.

Bagaimanapun, kami tiba lewat kerana pelbagai masalah antaranya lokasi pokok tualang yang jauh dan sungai cetek selain jumlah peserta yang ramai.

Malah, peserta terpaksa menarik sampah di kawasan air deras sehingga masing-masing keletihan.

Bagi menghilangkan keletihan duduk dalam sampan, kami dibawa ke kawasan sira gajah atau kawasan mata air panas.

Sebaik tiba di tapak perkhemahan, masing-masing mengambil pinggan dan makanan kerana perut sudah berbunyi.

Nasi yang dimasak dalam buluh, kerabu pucuk paku dan ikan talapia bakar cukup menyelerakan.

Hari semakin gelap dan gambar pokok tualang serta cara memasang sigai atau tangga belum diambil.

Justeru, penulis bersama beberapa rakan media dibawa ke lokasi memungut madu yang mengambil masa 20 minit berjalan kaki.

Ketika melihat pokok tualang yang mempunyai tiga sarang lebah itu, penulis terpegun kerana ketinggiannya menyamai bangunan 10 hingga 12 tingkat.

“Macam manalah mereka ni pungut madu lebah,” detik hati penulis.

Apabila sampai di lokasi, empat daripada lapan pemungut lebah sudah memasang sigai.

Dek hari sudah gelap dan jarak di antara sigai dan sarang sangat dekat, kerja itu tidak dapat dilakukan, bimbang ibu lebah sedar dengan ketukan paku di batang pokok tualang itu.

Selepas menikmati hidangan makan malam cukup istimewa iaitu sup dan daging rusa goreng, pengumpul madu kembali ke kawasan pokok tualang.

Memungut madu lebah tualang tidak boleh dilakukan berseorangan sebaliknya berkumpulan.

Sebelum memulakan operasi, pemungut membaca al-Fatihah tiga kali serta beberapa surah lain dan berdoa agar segalanya berjalan lancar.

Ketika proses memungut madu, kami duduk dalam gelap gelita. Jamung dinyalakan dan direnjis ke bawah yang kemudian diikuti bunyi lebah mengikut jamung itu.

Apabila lebah itu turun ke bawah pokok tualang, suasananya memang sukar digambar dengan kata-kata. Dalam kegelapan, hanya kedengaran bunyi lebah.

Dalam kegelapan malam itu juga, pemungut madu menaikkan tong atau besen untuk mengumpul madu.

Tali besar diguna untuk menaikkan tong dan hanya sebahagian sarang lebah diambil untuk diletak dalam tong sebelum dibawa turun menggunakan tali saiz kecil.

Selepas mendapat tong itu, kami diberi peluang melihat dan merasa sendiri madu yang masih segar.

Tiba-tiba penulis disengat seekor lebah dan petua menghilangkan bisa sengatan lebah itu ialah dengan meletak madu di tempat gigitan serangga itu.

Pemungut madu lebah, Sobri Mad Zain, 35, yang memungut dan memasang sigai bersama Zaini Abdul Hamid, 45, berkata tugas memungut madu lebah itu perlu diselesaikan sebelum jam 4 pagi.

“Jika cuaca terang, lebah akan terbang ke sarang semula dan pemungut madu pasti terdedah kepada bahaya disengat,” katanya.

Selepas lelap seketika dan bersarapan, kami meninggalkan tapak perkhemahan ke Jeti Empangan Sungai Muda dengan menaiki sampan.

Namun, air sungai yang deras akibat hujan membataskan hasrat kami menaiki sampan sebaliknya terpaksa meredah hutan.

Ketika meredah hutan, perkara paling penulis tidak suka ialah serangan pacat yang sentiasa tahu di mana kami berada.

Ketika itu pelbagai aksi dapat dilihat dalam kalangan ahli rombongan ketika membuang pacat yang melekat di celah jari kaki.

Ekspedisi belum berakhir di Jeti Empangan Ulu Muda kerana selepas itu kami dibawa ke Pusat Pemprosesan Madu Lebah di Fama cawangan Kuala Nerang, Kedah.

Menurut Pegawai Penyelidik Fama Daerah Padang Terap, Kedah, Azmi Ishak, madu yang tiba di pusat pemprosesan perlu diuji peratusan kandungan gula dan airnya bagi memastikan madu itu tulen.

“Madu akan menjalani proses penyejatan kandungan air yang memakan masa antara lapan hingga 16 jam bagi mengeluarkan air berlebihan.

“Ini dilakukan kerana madu di kawasan tropika mempunyai kelembapan yang tinggi dan air berlebihan akan mempercepatkan madu menjadi masam,” katanya.

Semua proses dilakukan secara manual. Istimewanya madu tualang ialah selain bermutu, manisan itu antipengoksidaan, antikanser dan antibakteria.

Ini antara kajian Prof Dr Ahmad Sukari Halim dan Dr R Kishore dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

INFO

  • Aktiviti memungut madu tualang dilakukan pada Februari hingga Mei
  • Sebanyak 50 kilogram (kg) hingga 80kg madu boleh diperoleh dari sebatang pokok tualang
  • Purata ketinggian pokok tualang adalah bersamaan bangunan 10 atau 12 tingkat atau 100 hingga 150 meter tinggi.

    >>Pantang larang ketika ekspedisi madu lebah

  • Jika disengat lebah, ambil madu lebah dan sapu pada tempat yang disengat
  • Jangan ‘menegur’ apabila terdengar atau melihat sesuatu yang pelik.
  • Jangan menyalakan lampu ketika madu diambil kerana ia akan membahayakan bukan saja si pemungut madu, tetapi juga peserta yang berada di bawah pokok.
  • Jangan makan madu selepas empat jam mengambil sebarang ubat-ubatan

Posted May 26, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: