Rahsia alam Gunung Benum

Oleh Suliati Asri

SEDIA...rombongan sebelum memulakan cabaran 4X4.
SEDIA…rombongan sebelum memulakan cabaran 4X4.

KEUNIKAN dan kecantikan air terjun Lata Berembun sudah lama menjadi bualan dan membuatkan sesiapa saja yang mendengarnya teringin menikmati sendiri apa yang ditawarkan di sana.

Penulis sendiri acap kali mendengar betapa sejuknya air terjun Lata Berembun yang terletak kira-kira 24 kilometer (km) dari bandar Raub serta menanti peluang menjejakkan kaki ke sana.

  • Foto
  • TINGGI…pokok tualang yang menyamai ketinggian bangunan 10 tingkat.
  • Foto
  • LASAK…meredah sungai menggunakan kenderaan 4X4 menguji kekuatan enjin.
  • Foto
  • SUCI…kejernihan air yang mengalir cukup mengujakan.
  • Foto
  • TENANG…kehijauan alam semula jadi yang menanti di Lata Berembun cukup menyenangkan.
  • Foto
  • DAKI…laluan berbukit yang mencabar.
  • Foto
  • BUKAN SELALU…peluang mandi air terjun Lata Berembun sememangnya tidak boleh disia-siakan.

Justeru, jemputan Kementerian Pelancongan Malaysia ke Raub, baru-baru ini bagai pucuk dicita ulam mendatang.

Lata Berembun dianggap kawasan air terjun yang unik, tercantik dan mengasyikkan di Pahang.

Menurut ketua ekspedisi yang membawa rombongan media dan Kementerian Pelancongan, Mohd Razali Maidin, 35, Lata Berembun adalah salah satu daripada tujuh air terjun di sekitar Gunung Benum dan ketujuh serta paling bawah.

Walaupun air terjun paling bawah, ketinggiannya adalah 3,000 kaki dari paras laut dan itu memang tinggi.

Sudah namanya tempat yang cantik dan unik, untuk sampai ke Lata Berembun itu, perjalanannya tidak mudah dan ia cukup mencabar.

Dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda 4X4, perjalanan sejauh 14km iaitu empat kilometer jalan raya dan 10km di jalan kebun, dusun, kelapa sawit, tanah merah serta hutan cukup memberi cabaran bukan saja kepada kenderaan 4X4 dan pemandunya, tetapi juga kami.

Ketika taklimat di Dataran Kampung Sungai Klau, kami diberi jaket keselamatan dan diarahkan untuk memakainya ketika berada di dalam kenderaan.

Pelik. Mana tidaknya, dalam kenderaan 4X4 dengan cuaca yang panas kami di suruh memakai jaket keselamatan. Tetapi sudah namanya arahan, kami turutkan saja.

Perjalanan menaiki pacuan empat roda yang akan membawa kami ke Lata Berembun mengambil masa lebih kurang 45 minit hingga sejam.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan jalan yang dilalui terutama jalan tanah merah yang licin ketika basah.

Mulanya, perjalanan biasa saja kerana empat kilometer pertama adalah jalan raya. Jadi masih biasa saja.

Tatkala memasuki kilometer seterusnya, jeritan serta gelak ketawa mula kedengaran kerana laluannya yang memasuki fasa mencabar.

Ketika itulah semuanya sedar kepentingan jaket keselamatan.

Setiap peserta diminta memakai jaket keselamatan dalam kenderaan 4X4 bagi mengelak badan peserta sakit atau terhimpit ketika kenderaan terlanggar lubang atau bergoyang kuat.

Sepanjang perjalanan, banyak laluan yang mencabar dilalui, antaranya meredah sungai selain menaiki laluan tanah merah yang licin setinggi 90 darjah.

Bagi mengelak kereta tidak boleh naik atau mengotorkan peserta, kami perlu turun dan berjalan kaki ke atas.

Bagaimanapun, bagi yang mahu merasai cabarannya, mereka boleh duduk dalam kenderaan 4X4. Sekali lagi, jeritan peserta kuat kedengaran dan ia cukup menyeronokkan.

Selepas melalui pelbagai laluan yang mencabar, akhirnya rombongan sampai ke destinasi.

Namun, air terjunnya masih tidak kelihatan dan hanya kesejukan air yang mengalir menyambut kedatangan kami.

Ini kerana kami masih perlu berjalan kaki sejauh 200 meter ke Lata Berembun.

Menurut Razali, air terjun seting�gi 50 meter itu diberi nama Lata Berembun berikutan tempias air terjun ibarat embun yang boleh dirasai 500 meter dari air terjun. Justeru, kesejukan air terjunnya saja yang sudah mula dirasai.

Dengan kedalaman air terjun yang boleh mencecah hingga empat meter, peserta perlu memakai jaket keselamatan ketika mandi di Lata Berembun walaupun mereka pandai berenang.

“Dengan air yang sejuk, kejadian kaki kejang boleh berlaku dan ia sangat berbahaya.

“Justeru, dengan memakai jaket keselamatan, ia akan membuatkan kita terapung dan mengelak kekejangan,” katanya.

Jika tidak pandai berenang, jaket keselamatan itu membantu, sekali gus memberi peluang merasai kesejukan air terjun yang cukup unik itu.

Kederasan air terjun memang sukar dijangka. Ini kerana, bila-bila masa saja, air yang mengalir tiba-tiba deras dan itu adalah situasi yang sangat berbahaya.

Justeru, kata Razali, pe�ngunjung perlu peka terhadap beberapa perubahan air atau keadaan di sekeliling.

“Apabila sedang mandi dan sampah atau daun kering dibawa arus air terjun, bersiap sedia untuk naik ke ‘base camp’ kerana air deras ataupun ‘kepala air’ mungkin akan datang, tetapi ia masih jauh.

“Tetapi, jika air terjun yang jernih itu bertukar menjadi keruh dan semakin deras, itu sudah di tahap bahaya,” katanya.

Pengunjung juga boleh berjalan kaki mengikut laluan hutan ke air terjun itu, tetapi mengambil masa tiga jam.

Dengan berjalan ke air terjun Lata Berembun itu, pengunjung akan mendaki dua bukit.

Tetapi, dengan kesejukan air terjun dan pemandangan alam semula jadi yang menyegarkan, kepenatan berjalan itu pastinya akan terbayar.

Duduk beramai-ramai mengelilingi unggun api sambil menikmati keenakan ikan bakar atau menyanyi memang mengasyikkan.

Justeru, jika mahu berkhemah di kawasan air terjun itu, mereka perlu membuat laporan di balai polis berdekatan.

Keterujaan tatkala melihat air terjun Lata Berembun yang mengalir sukar diungkap dengan kata-kata. Terlalu cantik dan menyamankan.

Apa lagi, selepas meletakkan beg yang dibawa dan siap memakai jaket keselamatan, seorang demi seorang membasahkan badan menghilangkan penat sepanjang perjalanan.

Bagi yang tidak mahu mandi, mereka boleh bersantai di gigi air sambil merendam kaki selain menyusun batu-batu sungai.

Baru separuh kaki direndam sudah cukup membuatkan sesiapa saja menggigil kesejukan termasuk penulis sendiri. Bak kata seorang teman, ‘sejuk sampai ke tulang airnya.’

Selepas 30 minit menikmati kesejukan air terjun, seorang demi seorang naik menikmati makan tengah hari.

Sesi kedua mandi air terjun Lata Berembun disambung apabila perut sudah kenyang.

Kami tidak boleh terlalu lama di air terjun itu kerana ada program lain di Raub lalu meneruskan cabaran berikutnya dengan pacuan empat roda.

Ketika naik, pemandu perlu memastikan laluan yang dilalui tidak licin supaya kereta 4X4 itu tidak berundur ke belakang.

Bagi peserta pula, pegangan perlu diperkuatkan berbanding ketika datang kerana kereta akan lebih menjunam ke bawah. Keseronokan dan ketakutan yang bercampur membuatkan peserta menjerit sekuat hati tatkala kereta menjuman ke bawah atau melalui laluan yang mencabar.

Jeritan dan gelak ketawa setiap peserta menggambarkan kepuasan, bukan saja kesejukan air terjun Lata Berembun, tetapi pengalaman menaiki pacuan empat roda.

INFO

  • Diberikan nama Lata berembun berikutan tempias air terjun ibarat embun yang boleh dirasai 500 meter dari air terjun.
  • Ketinggian Lata Berembun 3,000 dari paras laut
  • Air terjunnya setinggi 50 meter dan kedalamannya boleh mencecah empat meter dalam.
  • Air terjun paling bawah iaitu ketujuh

Posted May 26, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: