Tioman – lukisan terbaik alam

Oleh Syanty Octavia Amry
WARNA ALAM...panorama indah pada waktu petang di Pulau Tioman yang memukau.
WARNA ALAM…panorama indah pada waktu petang di Pulau Tioman yang memukau.

TERSENARAI antara 10 pulau paling cantik di dunia, keindahan pasir pantainya yang memutih dan kebiruan lautnya menggamit pelancong berkunjung ke Pulau Tioman.

Terletak 55.6 kilometer (km) nautika dari Pahang, Pulau Tioman bukan saja menjanjikan keindahan lautan yang terbentang luas tetapi juga terumbu karang yang masih terpelihara serta destinasi penyu bertelur.

  • Foto
  • ANEKA…ikan pelbagai warna dan jenis boleh di lihat di perairan Tioman.
  • Foto
  • UNTUK MAKLUMAT…Pusat Taman Laut dibuka kepada orang ramai.
  • Foto
  • PANTAU…penguat kuasa JTLM melakukan rondaan pada waktu malam di perairan Tioman.
  • Foto
  • MAKLUMAT…sudut penyu untuk tatapan pengunjung.
  • Foto
  • NYAMAN…suasana menyenangkan di kawasan resort Kampung Genting.
  • Foto
  • CENDERAMATA…pelbagai barangan kenangan Tioman dijual di sini.
  • Foto
  • SNORKEL…antara aktiviti sukan air utama jadi pilihan pelancong.
  • Foto
  • DAMAI…air laut yang membiru dengan cuaca yang cerah mendamaikan jiwa.
  • Foto
  • MERCU TANDA…monumen burung tiong yang melambangkan Pulau Tioman.

Selain itu, daya tarikan pulau itu adalah hutan tropika seluas 12,000 hektar yang dihuni 45 spesies mamalia dan 138 spesies burung terlindung.

Puas bermandi-manda di lautan yang membiru, pengunjung boleh merasai kesejukan air terjun yang terkenal di pulau ini iaitu air terjun Mukut dan air terjun Asah.

Keindahan semula jadinya menjadikan ia tempat percutian yang sesuai untuk semua peringkat termasuk pengantin baru yang ingin berbulan madu atau mereka yang gemar aktiviti lasak.

Untuk penginapan, terdapat beberapa resort di sini seperti di Kampung Tekek dan Kampung Juara manakala di bahagian timur pulau pula terdapat di Kampung Salang dan Ayer Batang.

Resort terkenal, Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa (BTBGS) di Kampung Tekek adalah resort terbesar di Tioman.

Resort yang memuatkan 350 calet pelbagai saiz itu menyediakan aktiviti secara kumpulan seperti bina semangat di The Challenger Park, kegiatan meredah hutan dan aktiviti sukan air seperti bersnorkel di Pulau Rengis.

Penginapan lain termasuk Salang Sayang Resort di Kampung Salang, Island Reef Resort dan Sun Beach Resort di Kampung Tekek.

Bagi mereka yang gemarkan kelainan, menginap di resort sekitar Kampung Salang pastinya memberikan pengalaman baru kerana penggunaan air adalah berasaskan air yang disedut dari dalam tanah.

Dalam pada itu, suasana persisiran pantai yang tenang dan mendamaikan pastinya menjadi keinginan setiap orang yang datang ke sini. Justeru, usaha memantapkan lagi keindahan pulau ini agar tidak tercemar terus menerus dilakukan.

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) bertanggungjawab memantau bagi memastikan Pusat Taman Laut yang  diwujudkan sejak 1994 itu selamat daripada pencerobohan.

Bagi memantapkan usaha penguatkuasaan, satu kapal baru yang diberi nama kapal 1 Permata dilancarkan bagi memulihara terumbu karang dan hasil laut.

Pengalaman menaiki kapal 1 Permata dan merasai sendiri aktiviti operasi penguatkuasaan di perairan pada waktu malam benar-benar mengujakan dan menguji kesabaran.

Apatah lagi keadaan yang gelap pada waktu malam membuatkan penulis hampir terlena dengan tiupan angin laut yang bagi sesetengah orang boleh menyebabkan mabuk laut.

Melihat tugas mereka, tidak semudah yang disangka dengan keadaan yang gelap, ia lebih memeritkan lagi apabila hujan lebat serta diganggu dengan pelbagai perkara aneh sudah menjadi kebiasaan dalam rutin harian.

Hampir dua jam di laut, dua kapal ditahan dan diperiksa untuk memastikan mereka bukan penceroboh dan nyata masing-masing adalah nelayan tempatan.

Posted May 26, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: