Puas layan siakap kamikaze

Oleh Zulhilmi Hat
Asyraff (kiri) memegang siakap seberat 2 kilogram yang dipancing menggunakan umpan udang kopek, sambil diperhatikan Shah di Pulau Indah, baru-baru ini.
Asyraff (kiri) memegang siakap seberat 2 kilogram yang dipancing menggunakan umpan udang kopek, sambil diperhatikan Shah di Pulau Indah, baru-baru ini.

MELIHAT penangan rakan-rakan pemancing bergambar bersama hasil tangkapan bersaiz XL dalam laman sosial Facebook membuatkan hati penulis terdetik mengatur satu trip ringkas ke kolam berbayar di Pulau Indah, Kelang, minggu lalu.

Kolam air masin yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari ibu negara itu menjadi destinasi penulis bersama rakan iaitu Asyraff dan Shah yang sebelum ini adalah pemancing tegar ikan di perairan air tawar.

Trip diadakan kali ini adalah bertujuan menguji keberkesanan teknik mengilat menggunakan (casting) udang kopek (dibuang kulit dan kepala) terhadap ikan muara seperti siakap dan bulan yang gemar menyambar makanan dalam air.

Bagi tujuan ini, persiapan kami ini menjurus kepada aksi mengilat iaitu menggunakan kekili menegak dan mendatar dengan dipadankan joran berkekuatan 8-13,8-20 dan 3-6 paun (lb) jenis Abu Garcia dan Major Craff.

Sementara itu, kaedah perambut tunggal sepanjang satu kaki setengah diletakkan manik batu ladung kecil di antara mata kail yang biasa diamalkan kaki pancing kolam berbayar sekitar pelabuhan Klang, dekat sini.

Penulis sendiri menggunakan padanan kekili berprofil rendah Abu Revo CB GP dengan padanan joran 8-13lb dengan tali sulam 30lb – iaitu set lazim untuk memancing ikan toman bujang di Tasik Kenyir. Tetapi di dekat kolam terbabit diberitakan siakap bersaiz 8 kg ada ‘bermastautin’ dalam kolam berbayar ini yang dahulunya menjadi pusat membaiki bot.

Setibanya kira-kira jam 3 petang kami bergegas berpecah untuk mencari lubuk idaman masing-masing walaupun pertama kali datang ke kolam ini. Menurut tauke kolam, siakap mudah dikesan kehadirannya apabila melihat ianya menghambur air di atas permukaan air.
Petua yang diberikan tauke kolam itu memang benar apabila penulis sendiri melihat siakap kerap menyambar anak ikan belanak hingga ke tebing simen kolam itu. Bunyi ‘booosh’ kedengaran apabila melihat ikan ini menyerang anak ikan secara serentak.

Melihat keadaan itu, penulis bergegas membuat lontaran umpan ke arah ikan menghambur tadi. Balingan demi balingan dibuat, namun ikan langsung tidak menyentuhnya dan begitu juga Shah dan Asyraff.

Kami bertiga tidak berputus asa dan mencari lokasi yang baru sekitar kolam sebesar dua padang bola sepak itu. Penulis memilih port berdekatan kunci air dan balingan di tuju ke arah air menyusur masuk terus disambar siakap bersaiz 400 gram.

Apa yang menariknya, ikan siakap dekat kolam ini bersikap ‘kamikaze’ apabila sanggup mengejar umpan sehingga tebing walaupun kelibat pemancing boleh dilihat pada skala yang amat dekat.

Selepas hampir tiga jam aktiviti memancing kami menjadi bosan apabila ikan diburu tidak mahu menjamah udang kopek yang dibaling. Perasaan geram pula timbul apabila umpan udang yang dihulurkan sempat diratah anak ikan kerong belang yang pelahap.

Shah yang melihat keadaan demikian mengajak kami berpindah ke tali air berhampiran kaunter bayaran untuk memancing dekat sana pula. Katanya masa memancing yang diperuntukkan selama tiga jam hampir tamat.

Tidak berlengah lagi, ami bertiga terus bergerak ke tali air terbabit. Penulis memilih di lokasi atas tebing simen manakala Shah dan Asyraff berada di gigi air. Balingan kami bertiga ke sasaran ikan yang menyerang anak ikan belanak yang diserang pemangsa.

Shah yang melakukan balingan tepatnya ke tebing simen dan mengarau secara perlahan hingga ke kumpulan belanak terus disambar ikan yang sedia menunggu di bawah.

Beliau yang sudah bersedia pada awalnya terus membuat sentapan padu yang menyebabkan ikan terus membawa lari masuk ke tali air sebelum melakukan aksi akrobatiknya untuk melepaskan dari dari cucukan mata kail.

Mujurlah ‘drag’ yang dilonggarkan dari awalnya berjaya mengekang ikan dari melakukan aksi kedua dan selepas bertarung kira-kira lima minit, siakap berskala 2 kg berjaya didaratkan.

Tersenyum puas kami bertiga walaupun tangkapan siakap pada saat akhir dapat didaratkan dengan jayanya dengan mengambil gambar kenangan untuk dimasukkan dalam Facebook nanti.

INFO: Kolam Pulau Indah

  • Terletak berhampiran Pusat Latihan SEGI College dan Terminal Star Cruise.
  • Kolam ini mempunyai tebing bersimen dan asalnya adalah pusat membaiki bot.
  • Ikan siakap, jenahak, kaci, senangin, belanak, tamok, bulan siakap merah, tIlapia hitam, kerong belang.
  • Bayaran deposit RM50 ataupun RM10 setiap jam.
  • Waktu terbaik memancing dekat kolam ini ketika air pasang besar.

Posted June 19, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: