Aji-Aji Kota Kinabalu sebesar bapak

Oleh Tamizam Abd Karim
HAMIDI cuba mengangkat bapak aji-aji yang ditewaskan oleh Zaba.
HAMIDI cuba mengangkat bapak aji-aji yang ditewaskan oleh Zaba.

Selamat 45 minit bertarung akhirnya ikan ‘keletihan’, berjaya dinaikkan

JAM sudah melewati 2 pagi, namun keseronokan memancing aji-aji bermula 11 malam, membuatkan penulis sanggup bertahan walaupun keletihan dan lengan mula membengkak ketika menduga perairan Pulau Mengalun di Kota Kinabalu, Sabah, atas jemputan rakan, baru-baru ini.

Sementara menunggu bulan terbenam, kami mengumpan mangsa dengan pancingan dasar pula. Kebiasaannya sotong cumit akan naik ke permukaan apabila bulan tak kelihatan kerana tertarik dengan cahaya lampu bot.

Bagi penulis, peluang mencari spesis ikan lebih baik menggunakan umpan segar terutama pada lubuk dengan kedalaman air 125 meter atau lebih kurang 400 kaki.

Maklumat kaki pancing tempatan mengesahkan lubuk yang kami pancing jarang mengecewakan sebelum ini lantas mendorong rombongan kami memulakan aktiviti jigging namun tidak menjadi kali ini.

Faktor air tak berarus turut memberi impak terhadap minat ikan dengan pelbagai kepingan jigs yang dihenjut gagal menarik nafsu ikan menyambarnya.

Ketika ramai yang bermain jigs, pancingan dasar lebih mendapat sambutan ikan karang. Dua siakap merah berskala 8 kilogram berjaya ditawan dalam masa kurang sejam selepas berlabuh.
Tidak lama kemudian, tumpuan kami beralih kepada Zaba, kaki pancing dari Ranau, Sabah yang menjerit apabila tali pancingnya keluar mencurah tak henti-henti sehingga habis satu gelendung kekili laut dalam yang digunakan.

Nasib baik ikatan hujung pada gelendung kuat dan mampu menerima asakan. Melihat situasi itu, kami mengarahkannya bergerak ke belakang bot bagi mengurangkan tekanan sambil mengarau sedikit agar tali masuk kegelendung kekilinya.

“Dah tak tahan lagi,” keluh Zaba apabila disapa supaya mengepam joran sedikit demi sedikit. Semangat terus diberikan kepadanya agar terus bertahan bagi mengelak kekili kosong dan mangsa yang belum diketuai jenisnya itu terlepas.

Keyakinannya bertambah apabila berjaya ‘meletihkan’ ikan itu dan berenang ke atas. Selang 30 minit, jelas kudrat ikan yang menahan sakit itu membuatkan tali sedikit demi sedikit mengisi gelendung kekili lantas mendorong rakan pancing lain menggulung tali masing-masing sebagai tanda memberi laluan kepada Zaba menaikkan gergasi besar itu.

Hamidi, pemancing dari Johor, yang berada di sebelah turut membantu memberi minuman kepada Zaba yang nampak keletihan.

Kami di sekeliling bot turut memberi kata semangat kepada Zaba supaya bertahan dan kudrat dikerah selepas bayang ikan mula kelihatan hasil kejernihan air laut Sejali berdekatan dengan Pulau Mengalun.

Setelah hampir 45 minit bertarung, Zaba akhirnya berjaya menewaskan bapak aji-aji yang kami semua sasarkan dalam trip kali ini.

Paling menyeronokkan Zaba ialah spesis ini menjadi tangkapan peribadi terberat sepanjang memancing. Sebaik saja ikan didaratkan, Zaba menolak untuk bergambar seketika kerana keletihan. Bagaimanapun, geng pemancing lain mengambil peluang untuk bergambar dengan hasil tangkapan Zaba.

Seterusnya, kami teruskan aktiviti memancing sepanjang trip berlangsung selama 3 hari dua malam di beberapa lagi lubuk sekitar perairan Mengalun dan Sejali dengan pelbagai lagi jenis ikan menjadi taruhan sementara cuaca baik sepanjang trip kecuali hari pertama bot mengalami masalah teknikal angkara terlanggar pantang orang Sabah.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: