Alu-alu, kaci Pulau Tenggol ganas

Oleh Nuri Angkasa

  • Foto
  • PENULIS bersama kaci dan jenahak Pulau Tenggol, Terengganu yang dipancing bersama rakan, baru-baru ini.
  • Foto
  • JOE bangga dengan alu-alu Pulau tenggol 10kg yang membaham umpan sekali gus menamatkan penantian 15 tahun memancing ikan besar.

Spesies ikan karang terus berkembang biak di tukun tiruan

DAERAH Dungun di Terengganu hari ini dikait rapat dengan rezeki laut dan pantai yang menarik serta pasir yang memutih saujana mata memandang seperti pantai Teluk Bidara dan Pantai Teluk Lipat yang pernah menjadi lokasi pilihan pertandingan GP Joran.

Pulau yang sentiasa bermain di bibir nelayan tempatan dan pemancing seluruh negara bagi merebut spesies ikan terbaik ialah Pulau Tenggol dan Pulau Nyireh yang berdekatan antara satu sama lain dan lokasinya tidak jauh dari pantai.

Spesies ikan karang terus berkembang biak di karang konkrit dan karang semula jadi yang bertaburan dalam kawasan perairan Dungun seperti Lubuk Karang Tanjung, Batu Mat Ali, Kapal Kain, Batu Mega, Batu Kuning, Karang Reba, Karang Jara, Batu Bubu, Batu Lintang, Batu Aya dan Mat Rodat. Ini tidak terkecuali spot yang dihuni spesies ikan karang gred A di sekitar unjam daun kelapa dan buluh menjadi pilihan teknik pancing apollo yang tidak kurang hebatnya.

Khidmat tekong Zahari yang datang mengajak kami turun memancing kawasan Pulau Tenggol bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.

Malam itu kami membuat perbincangan lalu menetapkan untuk turun memancing di beberapa karang selain kawasan Pulau Tenggol dan Pulau Nyireh. Berbekalkan umpan yang disediakan tekong Zahari serta bekalan makanan untuk tempoh dua hari satu malam kami terus meninggalkan tanah daratan menuju ke Pulau Tenggol tapi terpaksa singgah di unjam untuk mendapatkan ikan segar dan hidup.

Unjam daun kelapa ditemui dalam perjalanan ke Pulau Tenggol dan kami mula menurunkan pancing apollo lalu berpesta dengan ikan unjam tapi kali ini ikan selayang yang banyak didaratkan dan dalam masa yang sama ikan belitung datang memburu anak tamban yang bermain di permukaan air.
Raja dengan pantas menukar teknik pancing satu mata dengan ikan selayang hidup lalu disambar sebaik saja umpan itu tiba di permukaan air. Belitung berjaya didaratkan dan kami berpindah ke kawasan antara Pulau Tenggol dengan Pulau Nyireh. Karang semula jadi ditemui dan di sini biasanya jika kena dengan air dan arus lemah, ada ikan gred A seperti jenahak, ebek, kerapu dan tenggiri bermain di dasar karang itu.

Penulis berjaya menjinakkan ikan jenahak dan kaci sebaik umpan isi ikan selayang diturunkan. Joe yang berjaya mendaratkan ikan alu-alu seberat 10 kilogram melalui pancing hanyut dengan umpan hidup seekor ikan selayang memecah penantiannya selama 15 tahun untuk mendaratkan ikan besar melebihi 10kg.

Bot beredar ke satu lagi lokasi yang tidak jauh dari lokasi pertama, karang berada di sebelah selatan Pulau Nyireh dan arus air sedikit laju. Dengan menggunakan batu ladung agak besar sedikit, jenahak dan ebek memburu umpan, Jalil mendahului rakan lain beraksi dengan ikan ebek.

Manakala rakan lain bermain dengan ikan tetanda dan kerapu jemuduk. Tidak lama selepas itu harapan untuk menjenguk ke Lubuk Karang Tanjung dan Batu Mat Ali serta Kapal Kain berkecai kerana angin mula bertiup kencang, ribut pasti turun, lalu kami bergegas pulang ke jeti.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: