Bangkit seri keladi

Bersama Abubakr As-Siddiq
  • Foto
  • Foto

Idea kreatif gubah keladi hiasan jenis Caladium dan Alocasia ikut tema tropika, Bali

MESKIPUN keladi hiasan kurang menarik dari segi penampilan khususnya spesis asli namun andai diberi sentuhan ilham dan gaya kreatif seperti di pameran, ia mungkin berupaya tampil cantik sekali gus meraih perhatian orang. Ini yang cuba saya utarakan minggu ini. Beberapa ilham menarik yang boleh dicuba meliputi:

Tanaman di tanah

Kebanyakan pokok keladi yang ditanam di tanah adalah untuk pembentukan taman mini atau landskap bertemakan tropika, Bali dan sebagainya.

Tanaman dalam pasu atau bekas tanaman lain

Kaedah 1: Ia sangat menarik dijadikan pokok spesimen dan ditanam secara solo di dalam pasu dekoratif. Rupa daunnya yang cantik boleh dijadikan bahan pameran umum. Pasu tembikar, seramik dan sebagainya adalah pilihan terbaik. Begitupun, sesetengah keladi hiasan elok dibuat gubahan. Untuk ini, sebaiknya beberapa spesis ditempatkan secara berkumpulan dalam satu pasu.

Kaedah 2: Melalui kaedah kreatif serta menarik, pokok berkenaan yang pada mulanya ditanam secara solo atau berkumpulan, akan diubah serta dipamerkan dalam bekas pameran cantik dan ini diistilahkan sebagai ‘ displaying planter.’
Ada banyak bekas pameran menarik di pasaran baik yang diperbuat daripada kayu, logam, bahan anyaman dan sebagainya. Ikuti langkah ilham pameran diperturunkan ini dengan menggunakan spesis disyorkan seperti dari genus Caladium dan Alocasia:

1) Alas pasu tanaman dengan jaring atau serat kelapa supaya medium tanaman tidak mudah terkeluar bersama air siraman (foto 1).

2) Masukkan campuran medium tanaman untuk pokok berpasu (foto 2).

3) Keluarkan pokok dari pasu masing-masing dan letak atau susunkannya dulu dalam pasu bagi disesuaikan kedudukannya agar nampak cantik dan menarik.

Seterusnya, masukkan lagi campuran medium tanaman atau tanah untuk pokok berpasu kemudian padatkannya supata pokok dapat tumbuh subur (foto 3 dan 4).

Selesai kerja penanaman, siram dan sembur pokok dengan air agar kekal segar dan subur. Kemudian, letak di tempat teduh sehingga pokok berkenaan terus hidup subur selain tidak kecut. Apabila didapati ia semakin subur melalui tanda-tanda seperti pertumbuhan daun baru, bolehlah ia didedahkan kepada cahaya matahari yang banyak namun pastikan juga ia mendapat perlindungan seperti diperlukan.

4) Akhir sekali, bagi penampilan lebih menarik, pamerkan tanaman tadi secara lebih kreatif dengan meletakkan pasu tanaman itu ke dalam bekas pameran yang cantik serta menarik bentuknya.

Tip

  • Sebagai alternatif, anda juga boleh meletakkan bahan sungkupan seperti lumut ‘Sphagnum moss’, serat kelapa dan batu kerikil di bahagian atas medium tanaman bertujuan mengekalkan kelembapan medium tanamannya agar pokok dapat hidup subur. Selain itu, bahan sungkupan juga boleh mencantikkan lagi gubahan berkenaan (foto 5).
  • Bagi hiasan ruang sempit seperti di balkoni, sudut ruang laman dan tempat letak kereta, disyorkan menggunakan beberapa pasu tanaman seperti ini untuk mengindahkan ruang berkenaan.Pamerkan tanaman ini di tempat tinggi agar tidak dicapai oleh kanak kanak sekali gus berupaya mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
  • Jika ingin dipamerkan dalam kediaman, pastikan ia dikeluarkan untuk didedahkan kepada cahaya matahari namun pastikan dalam beberapa hari sekali, diletak di kedudukan terlindung bagi pertumbuhan subur.Menanam pokok hiasan secara berkumpulan lebih baik berbanding ditanam solo kerana ia dapat membina satu ekosistem tersendiri. Ini bermaksud tahap kelembapan kepada medium tanaman juga di persekitarannya akan menjadi lebih tinggi kerana dedaun pokok bertindak melindungi satu sama lain daripada terik matahari sekali gus menghasilkan pokok yang sentiasa subur.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

%d bloggers like this: