Ikan lubuk Endau kebulur malam

Oleh Pak Nuri Angkasa

  • Foto
  • BAKAR puas melayan ebek perairan Penyabung yang menghentam umpan ikan tamban segar yang dihulurkan.
  • Foto
  • MAT ISA dengan jenahak selepas pertarungan dengan belitung menamatkan sesi memancing sebelah malam.
  • Foto
  • IJAL bersama ebek perairan Penyabung.

SUDAH agak lama penulis dan rakan Geng Tuna Biru tidak menyedut udara laut di perairan Penyabung, Endau, lebih-lebih lagi mengecapi kedamaian suasana di sebuah perkampungan nelayan separuh moden yang terletak kira-kira 17 kilometer dari Pekan Endau, di Mersing, Johor.

Bagaimanapun, kerinduan itu terubat baru-baru ini dan penulis terkejut apabila Pekan Penyabung sudah banyak berubah mengikut arus pembangunan negara.

Memerhati perubahan gaya hidup anak muda di situ, jelaslah aktiviti menangkap ikan kekal menjadi pekerjaan generasi tua manakala anak muda terpikat bidang yang pekerjaan sama ada dalam sektor swasta dan kerajaan berbanding kerjaya mandi peluh sebagai nelayan yang perlu menongkah arus di laut.

Namun, laut sebelah sini masih kekal menjadi gelanggang buat kaki pancing tempatan dan luar negara datang menduga lubuk yang kaya dengan ikan mahal sekali gus kelibat kaki pancing ini bersilih ganti berkunjung ke Penyabung.

Penulis sendiri, yang sudah berbelas tahun meninggalkan perairan Penyabung, tiba-tiba terpanggil mengisi hasrat untuk bermain dengan ikan cupak dan jemuduk di kawasan Pulau Seribuat dan Tukong Burung yang sebelum ini pernah menjadi tempat kami berpesta tangkapan.

Lantas menghubungi tekong Mustapha yang sebelum ini banyak mengajar penulis ilmu memancing di laut lalu kami lapan orang setuju menempah bot BAGI trip tiga hari dua malam ke Pulau Seribuat.

Selepas singgah sejam di hujung Pulau Aceh untuk mengacah anak ikan, tekong terus ke unjam untuk mendapatkan ikan selar dan kembung segar untuk dijadikan umpan dan nyata persinggahan di sini amat menghiburkan apabila Apollo tidak berhenti dihenjut ikan selar, kembung, tamban dan sardin (selayang).
Selesa dengan bilangan umpan, maka ikan tamban hidup dilepaskan berenang di permukaan air dan sepantas kilat seekor belitung menyerang umpan.

Rakan penulis yang kelihatan belum bersedia bergelut untuk melayan kerenah ikan terpedo itu yang melarikan tali pancing mengelilingi bot sekali gus rakan lain kecoh menggulung tali sebagai tanda memberi laluan menaikkan belitung ganas itu.

Selang beberapa minit, tiga lagi belitung berjaya didaratkan dan selepas itu tekong Mustapha berpindah lokasi menuju ke kapal karam dalam kawasan Pulau Seribuat.

Teknik pancing dasar di gunakan, air sedalam 65 meter di lubuk tersebut dengan arus sederhana ditambah dengan batu ladung nombor 8 sesuai digunakan dengan harapan lebih banyak spesis ikan torpedo itu dapat dijinakkan.

Sekeping isi daging ikan kembung segar di gunakan melalui perambut dua depa berkekuatan tali 80 paun dapat meyakinkan diri jika di rebut ikan besar XL, terutama haruan tasik dan pari.

Menjelang malam, seekor lagi ikan tamban hidup yang diturunkan oleh Ijal lalu disambar kuat sebelum batu ladung sempat mencecah dasar , Ijal yang sememangnya bersedia awal, memperkuatkan kekuda sebelum seekor aruan tasik sebesar separuh saiz bot menyerah sebelum umpan Isa disambar jenahak diikuti rakan lain dengan berbagai spesies ikan bersaiz sederhana.

Selepas puas, Tekong Mustapha setuju berpindah ke lokasi yang lebih menarik iaitu lubuk ikan berkawan dalam kumpulan seperti cupak dan jemuduk di Pulau Tukong Burung.

Kedudukan lubuk ini agak jauh di tengah lautan antara Pulau Seribuat dengan Pulau Tulai di Tioman. Pulau Tukong Burung yang masih di diami burung camar laut masih kekal didiami burung tersebut.

Kami tiba di lokasi itu tepat jam 2.30 pagi sambil disambut kicauan burung camar laut yang masih riuh walaupun sudah lewat pagi.

Keriuhan burung itu menenggelamkan bunyi percikan air di permukaan laut yang lazimnya jadi penanda kewujudan ikan cupak tetapi penulis mencuba pancing dasar dengan mengapung batu ladung dengan perambut lima depa bagi mengelak tersangkut pada batu karang.

Cubaan awal pagi itu menghasilkan seekor aruan tasik seberat 7 kilogram yang terpaksa bergelut menumpahkan peluh dingin dan hampir tiga suku baki tenaga lamahabis lantas membuatkan penulis tersandar akibat keletihan melawan kudrat ikan besar itu

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: