Jenahak pelahap ketika arus deras

Oleh Nuri Angkasa
PENUlIS dengan seekor barracuda gigi tajam yang gagal memotong taling sulam.
PENUlIS dengan seekor barracuda gigi tajam yang gagal memotong taling sulam.

 

 

 

SEBAIK mendapat bekalan ikan segar dari pelantar nelayan di Pulau Pangkor, Perak, baru-baru ini, kami kumpulan lapan orang pemancing Geng Tuna Biru dibawa ke satu lokasi yang sengaja dirahsiakan oleh tekong atas sebab-sebab tertentu.

Lubuk pertama yang dilabuhkan oleh tekong Ah Seng hanya sedalam 45 meter dengan arus agak deras sedikit.

Dengan menggunakan hirisan isi kembung segar, dua mata pancing ala apollo digunakan.

Ikan gerut-gerut dan tetanda gemar menyambar umpan begini lalu kami berpesta dengan spesies ikan tersebut sekali gus membakar semangat kami sebelum berhijrah ke Pulau Jarak untuk memburu jenahak.

Setiba ke Pulau Jarak sambil Isan dan Jefry melakukan pancing tunda (trolling) di bahagian belakang bot kemudian eekor ikan kembung segar diturunkan sebagai hidangan buat spesies ikan karang yang mendiami lubuk tersebut.

Sejurus itu, umpan Isa paling awal menerima strike lantas mendaratkan seekor ikan kerapu seberat dua kilo diikuti rakan lain dengan berbagai ikan karang berjaya didaratkan, apapun ikan pilihan (jenahak) masih belum nampak bayangnya lagi.

Menjelang malam, lokasi karang tinggi dicari, walaupun arus sudah mula laju dan batu ladung bersaiz besar digunakan pada ketika tiba di lubuk pilihan.
Sauh diturunkan, kekili multiplier dengan kekuatan tali utama 100 paun ke atas digunakan bagi melawan asakan ikan jenahak bersaiz L dan XL.

Kekili elektrik (Bangla) sangat berguna bagi melawan arus deras dengan batu ladung besar yang sukar dikarau jika menggunakan kekili biasa.

Jeffry, Raja Shamil dan Isa yang sudah biasa di lokasi tersebut malah mengenali jenis umpan yang digemari jenahak di situ dengan mudah berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan jenahak dalam arus deras yang terus mengganas.

Penulis menggunakan kekili manual Penn Reels dengan tali sulam 200 paun merasakan ada sesuatu yang menarik umpan seekor sotong segar yang berjaya di candat sebelum ini.

Penulis cuba menarik tali utama dan bermain seketika, tapi dengan pantas tali utama ditarik dengan laju lalu dibiarkan oleh penulis dengan drag diketatkan sedikit dan bertindak balas bagi membolehkan mata pancing lekat kukuh di mulut mangsa.

Seekor jenahak menyerah kalah di tangan penulis yang berusia 78 tahun, Raja dan Jeffry terus menguasai tangkapan jenahak pada malam itu.

Menjelang tengah malam, arus mula lemah, tapi jenahak menghilangkan diri dan spesies ini akan agresif semula bila arus air deras semula. Menyedari hakikat ini kami mengalih aktiviti untuk berehat seketika sebelum arus laut aktif semula, tapi penulis melepaskan seekor ikan kembung lantas menghanyutkan ikan tersebut melalui perambut lima depa dan mata kail kasar di ikat dengan dawai sejengkal lebih. Dalam keadaan tidur-tidur jaga, penulis dikejutkan bila kekilinya berbunyi nyaring, tali utama 200 paun keluar dengan laju dan hujung sudah mencecah air.

Penulis dengan pantas bertindak balas lalu bertarung hampir 15 minit dan berjaya menewaskan seekor barakuda (alu-alu). Pemancing lain turut terjaga lalu memulakan aktiviti memancing semula dengan berbagai teknik yang direka sendiri.

Pilihan terbaik jika memancing di perairan Pulau Jarak, Kekili Bangla nyata diperlukan, batu ladung bersaiz besar bagi melawan arus deras (laju), mata kail kasar dan perambut 100 paun ke atas, umpan seekor sotong yang di candat pada malam itu.

Sekitar Pulau Jarak dan lubuk-lubuk karang masih banyak spesies ikan terbaik, cuma cuaca, musim, waktu dan umpan perlu diambil kira serta tekong berpengalaman turut mainkan peranan

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: