Keladi sutera

Oleh Abubakr As-Siddiq
  • Foto
  • Foto
  • Langkah 1
  • Foto
  • Langkah 2
  • Foto
  • Langkah 3

Tanaman Scindapsus pictus ‘Argyraeus’ atau keladi sutera mudah

SPESIES Scindapsus pictus ‘Argyraeus’ adalah antara tanaman hiasan popular dewasa ini. Daunnya berbentuk bujur sireh, berwarna hijau tua tetapi ditutupi dengan corak ala batik warna perak. Bahagian atas daunnya pula agak berkilat seakan permukaan kain satin atau sutera sebab itulah ia diberi jolokan ’Satin pothos’ atau ‘Silk pothos.’

SALAM perkenalan. Mulai minggu ini di kolum ini, saya akan membawa pembaca semua mengenali alam seni taman dengan lebih dekat lagi dalam keluaran setiap dua minggu.

Seperti ramai yang sedia maklum, bidang seni taman atau landskap adalah salah satu hobi yang kian diminati ramai tidak kira baik bagi golongan lelaki mahu pun wanita. Ia juga sangat mengasyikkan dan boleh menyihatkan badan tetapi jika kita tidak mengenalinya, maka tidak mungkin kita akan mencintainya.

Buat permulaan, saya mengetengahkan keunikan salah satu tanaman hiasan popular iaitu spesies Scindapsus pictus ‘Argyraeus.’

Dulu tanaman hiasan ini dikenali sebagai Epipremnum pictum ‘Argyraeus’ dan ia tergolong dalam famili tumbuhan keladi iaitu Araceae. Pokok ini ditanam kerana bentuk dan warna daunnya yang unik, cantik dan menarik.

Daunnya berbentuk bujur sireh dengan warna latar belakangnya hijau tua tetapi ditutupi dengan corak ala batik berwarna perak, sememangnya menghasilkan penampilan yang sangat unik dan menarik sekali. Bahagian atas daunnya pula agak berkilat seakan permukaan kain satin atau sutera sebab itulah ia diberi nama jolokan ’Satin pothos’ atau ’Silk pothos.’
Dengan ciri pokoknya yang boleh memanjat menggunakan akar udara itu ia pula diberi nama jolokan ’Pothos vine’. Pertumbuhannya agak perlahan untuk membesar namun pokoknya boleh mencapai sepanjang 6 kaki (1.8 meter) apabila meningkat dewasa dan matang.

Penanaman

Ia senang ditanam menggunakan keratan batang atau keratan anak tunas. Kaedah penanamannya adalah seperti berikut:

1) Kerat batang atau anak tunasnya pada bahagian ruas yang berdekatan dengan bukunya dan sebaiknya yang sudah tersedia tumbuh akar udara padanya.

2) Tanam keratan tadi dalam medium tanamannya dan letakkan di tempat teduh.
Ia sesuai ditanam dalam medium tanaman di mana air senang mengalir keluar dan campuran yang disyorkan adalah 3:2:2 (Tanah peroi: Tanah gambut atau baja kandang (najis ayam): Pasir sungai). Medium tanaman yang sudah siap dicampur untuk pokok berpasu boleh juga digunakan yang dibeli dari pusat tanaman. Pokok ini juga sesuai untuk ditanam dalam medium air iaitu secara Hidrofonik dan juga medium tanaman ‘jelly’ atau agar-agar.

3) Siram dan berikan pembajaan agar pokok cepat tumbuh (foto 6).

Penjagaan

  • Cahaya: Untuk mendapatkan corak dan warna pada daunnya yang menarik dedahkan kepada cahaya matahari yang terlindung sekerap mungkin.
  • Air: Ia sukakan medium tanaman yang lembap oleh itu siram dua kali sehari pada hari panas iaitu di waktu pagi dan petang. Semburkan pokok terutama daun dan akar udaranya bagi mengekalkan kesuburannya. Siram bila perlu pada hari hujan jika terdedah terus kepada air hujan.
  • Pembajaan: Gunakan baja cecair atau baja garam larutan berwarna hijau untuk dilarutkan dalam air siraman dan siram ke medium tanaman. Baja ini juga boleh dimasukkan ke dalam air semburan yang disembur kepada daun atau akar udara. Sila rujuk kepada arahannya ditulis pada setiap pek baja yang digunakan untuk mengetahui kekerapan dan jumlah baja yang perlu digunakan. Awas ketika menggunakan baja biji kerana ditakuti terkena daun atau batangnya yang boleh menyebabkannya melecur.INFO: Tip penjagaannya
  • Sembur daunnya untuk mendapatkan pameran daun yang segar sentiasa.
  • Cuci daunnya dengan tuala lembap dan sapukan cecair pengilat daun atau ‘leaf gloss’ untuk mendapatkan pameran daunnya yang cantik dan berkilat.
  • Potong batang di bahagian hujung pucuknya bagi menggalakkan pertumbuhan ranting yang baru bagi membentuk rumpun yang lebih padat.Idea pameran:
  • Ia boleh ditanam sebagai pokok spesimen menjalar batang kayu yang diselaputi lumut ‘sphagnum moss’ dan biasanya digunakan sebagai hiasan pejabat, kediaman dan sebagainya.
  • Ciri pertumbuhannya yang menjalar dan menjurai serta berjuntai ke bawah memang cantik dan sesuai untuk ditanam sebagai pokok gantungan dalam pasu atau raga gantung.
  • Pokok ini juga sesuai dijadikan bahan untuk pelbagai gubahan dengan tanaman hiasan lain yang akan saya tunjukkan dalam keluaran selepas ini

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

%d bloggers like this: