Rahsia dapur selesa

Bersama Hamidon Abdullah
pix_gal0

Susun atur sinki, perkakasan memasak dan peti sejuk perlu diutama

TANYALAH sesiapa saja mengenai akrabnya ‘hubungan’ ruang dapur dengan golongan wanita. Pasti ramai akur kerana di ruang inilah mereka menyediakan hidangan keluarga selain mencuba resipi baru.

Bahkan, menurut petua orang tua dulu-dulu, salah satu cara memikat suami adalah melalui masakan yang lazat. Sebab itu, jika diteliti, ruang dapur khasnya di rumah kampung mempunyai ruang luas dan hanya di kawasan bandar terutama teres menyediakan ruang terhad. Begitupun, ramai cuba memaksimumkan keluasannya melalui pengubahsuaian membabitkan lebihan tanah belakang rumah.

Perancangan dapur sempurna

Faktor kewangan sering mengekang pengubahsuaian penuh. Sebab itu, langkah awal membabitkan penilaian secara terperinci reka bentuk ruang serta fungsinya perlu dilakukan. Selanjutnya, selesaikan masalah ruang penyimpanan kelengkapan serta barangan dapur.

Secara asasnya, perancangan dilihat sebagai jawapan kepada persoalan perkara perlu dilakukan bagi aspek kelengkapan dan ruang penyimpanan barang. Seterusnya, difikirkan formula bagi mengimbangi keperluan ini menerusi reka bentuk ruang sedia ada.

Tidak dinafikan, sukar mencari penyelesaian tepat kerana minat individu berbeza namun tiga faktor utama penentu proses susun atur dapur selesa iaitu kawasan menempatkan sinki, perkakasan memasak dan ketiga, peti sejuk.
Sebaik saja kedudukan berkenaan dikenal pasti, proses susun atur ruang dijamin menjadi lebih praktikal mudah dilaksanakan. Konsep segi tiga hakikatnya mendefinisikan hubungan kerja antara satu sama lain menerusi tiga kedudukan. Namun, ia bukan bermakna susunan ruang itu kelihatan berbentuk tiga segi.

Ketika merangka pelan, satu garis khayalan dilukis membabitkan tiga pusat kerja utama iaitu sinki, tempat memasak dan peti sejuk. Secara ergonomik, jarak antara mana-mana dua pusat kerja utama ini dipastikan tidak melebihi dua meter. Walaupun cara begini jarang dipraktikkan dalam situasi sebenar namun ia menjadi kunci kepada ruang dapur selesa.

Apakah ruang dapur yang praktikal dan selesa? Sesetengah pendapat menyatakan bagi pembentukan ruang dapur sedemikian, yang paling utama adalah susun atur ruang kerja disediakan berfungsi menjimat masa bekerja. Ini juga mencetuskan idea reka bentuk dapur yang kecil atau kompak meskipun mempunyai kekurangan dari segi penyediaan ruang kaunter mencukupi.

Walaupun reka bentuk kompak dapat mengurangkan langkah pergerakan namun masalah lain yang timbul berpunca aktiviti serentak ialah tidak cukup kaunter bagi menampung kerja berkenaan.

Jika ruang kaunter tidak mencukupi bermakna ketika ketika menyediakan masakan, anda perlu mengalih dulu, membasuh serta menyimpan sesuatu perkakasan sebelum menyediakan menu lain. Jika tidak, keadaan mungkin menjadi kelam kabut selain mengambil masa panjang dan tenaga bagi mencari bahan serta kelengkapan diperlukan ketika itu.

Sebaliknya, jika kaunter terlalu panjang atau dibina berselerak dalam ruang, maka kerja yang dilakukan di dapur juga menjadi lambat dan tidak cekap.

Justeru, bagi mengimbangi masalah ruang dapur terlalu kecil atau luas, pastikan dapur memasak, sinki, tempat simpanan dan kaunter penyediaan makanan disusun seperti berikut:

  • Tiada ruang antara dua pusat yang dinamakan tadi berjarak tiga meter antara satu sama lain.
  • Panjang keseluruhan kaunter, tidak termasuk sinki, dapur memasak dan peti sejuk sekurang-kurangnya empat meter panjang.
  • Tiada kaunter kabinet yang dibina dengan lebar kurang daripada 1,200 milimeter.

Tidak semestinya kaunter bercirikan binaan kekal sebagai mana pelan pembentukan ruang dapur moden hari ini. Sebaliknya, perlu juga mengandungi perabot mudah alih misalnya meja atau kaunter bebas. Yang penting, pertalian antara ketiga-tiga pusat kerja utama dipastikan berkait rapat kerana peranannya cukup kritikal dalam membentuk ruang dapur praktikal serta efisien.

Tip

Ruang idaman, praktikal

  • Pastikan mengandungi ruang yang cukup pada segi tiga kerja membabitkan sinki, tempat memasak dan peti sejuk.
  • Kekalkan permukaan tempat melakukan kerja dengan lantai berdekatan segi tiga kerja bersih dan lapang. Ini memudahkan pergerakan dan menyenangkan kerja anda.
  • Pelbagaikan juga ketinggian permukaan tempat bekerja di dapur. Bagi aktiviti yang memerlukan tenaga seperti menguli tepung, ia lebih sesuai dilakukan di permukaan rendah berbanding kerja memerlukan koordinasi mata serta tangan seperti memotong sayur dan herba.
  • Jika keadaan di dapur sentiasa sibuk, letakkan peti sejuk di hujung binaan kabinet.Cara begini membolehkan ahli keluarga yang lain keluar masuk ruang dapur tanpa mengganggu ’tukang masak’.
  • Ketinggian biasa permukaan unit kabinet adalah 900 milimeter dan ia sesuai bagi kerja-kerja penyediaan makanan ringan. Manakala, para atau rak kabinet yang dibina hingga 1,800 milimeter membolehkan anda mencapai barangan dengan mudah. Ketinggian seterusnya membabitkan penyimpanan barang-barang jarang digunakan.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

%d bloggers like this: