Sekeluarga duga lubuk

Oleh Tamizam Abd Karim

AZIZUL bersama anaknya, Akil Syami dengan belida Tasik Kenyir yang membaham umpan casting ketika trip memancing di situ, baru-baru ini.
AZIZUL bersama anaknya, Akil Syami dengan belida Tasik Kenyir yang membaham umpan casting ketika trip memancing di situ, baru-baru ini.

Tasik Kenyir sesuai sebagai lokasi percutian terutama pada musim cuti sekolah

SESEKALI melakukan trip memancing bersama keluarga memberi satu impak yang cukup mendalam terutama kepada anak-anak dan golongan ibu. Rasa seronok sukar diucap apabila melihat mereka tersenyum girang kerana dapat menghabiskan masa senggang bersama orang tersayang.

Percutian ini dapat dilaksanakan sempena musim cuti sekolah baru-baru ini di mana penulis bersama tiga lagi rakan mengambil kesempatan membawa keluarga masing-masing bercuti sambil memancing ke Tasik Kenyir di Terengganu.

Trip tiga hari dua malam itu dirancang awal dengan menempah sebuah rumah bot yang dilengkapi pelbagai alat memasak dan keperluan harian.

Kebetulan, penulis sendiri teruja menduga lubuk di sekitar tasik berkenaan apatah lagi ia bakal menjadi gelanggang utama merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM116,000 sempena pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR) 2011 yang berlangsung selama dua hari mulai pagi.

Keselesaan yang ada di setiap rumah bot di situ menjadi tarikan kaki pancing membawa anak masing-masing mengadakan aktiviti rekreasi di tasik berkenaan. Penulis melihat trip sebegini lebih mengujakan apabila melihat telatah kanak-kanak menjerit keseronokan apabila ikan dinaikkan.

Sementara isteri sibuk menyediakan juadah makanan di dapur ‘boathouse’, si bapa sibuk melayan kerenah anak-anak kecil yang teruja dengan aktiviti memancing ikan. Trip tiga hari dua malam ke Kenyir kali ini memperuntukkan riadah bersama keluarga masing-masing.
Terdiri daripada empat keluarga, trip kami menjadi riuh rendah dengan jeritan kanak-kanak apabila melihat ikan bermain di air tasik yang jernih. Faktor keselamatan sememangnya dititikberatkan memandangkan majoriti ahli trip adalah kanak-kanak.

Jaket keselamatan untuk si kecil menjadi keutamaan setiap kali bapa bersama isteri dan anak kecil keluar menjalani aktiviti casting di anak sungai.

Azizul Ikram bersama isteri yang turut membawa dua anak dilihat paling ceria kerana anak-anak mereka begitu meminati aktiviti yang dianjurkan. Akil Syami yang baru berusia 6 tahun mampu membuat balingan (casting) walaupun tidak diberi tunjuk ajar yang betul.

Telatah adiknya pula, Nur Khairah yang empat tahun lebih muda, lebih menghiburkan apabila pasti menjerit jika si bapa tidak membawanya bersama menaiki sampan untuk aktiviti casting. Begitupun, keseronokan melayan telatah si kecil tidak menghalang ibu bapa mendapatkan tangkapan.

Kegigihan keluarga Azizul berbaloi apabila paling banyak membawa hasil tangkapan pada sesi memancing dari jam 4 petang hingga hari kedua.

Tangkapan terbesar diperoleh ialah seekor toman hampir lima kilogram sekali gus membuatkan Akil Syami menjerit keseronokan apabila melihat kelibat ikan membaham gewang yang dilontarkan. Percikan air membuatkan kedua-dua anak ini semakin teruja meskipun ruang di dalam sampan membataskan pergerakan.

Dalam keadaan itu, hanya pengalaman Azizul mampu mengawal joran dengan tenang sambil memastikan kedua-dua anaknya yang masih kecil kekal selamat tanpa lalai seketika.

Pengalaman beliau yang mengemudi sampan banyak membantunya mengawal kedua anaknya yang terlalu seronok serta sampan kecil agar tidak terbalik.

Sebelah malam pula, kami bergilir mengawasi kanak-kanak yang leka memancing ikan baung sambil kalangan ibu menyedia hidangan makanan dengan memasak sejumlah ikan segar yang berjaya dipancing sebelah siangnya.

Bagi penulis, pengalaman memancing bersama keluarga memang sesuai dilakukan di Tasik Kenyir yang memiliki puluhan boat house yang setiap satu boleh memuatkan antara 10 hingga 20 pemancing dalam satu-satu masa.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: