Teras siling

  • Foto 
  • Foto
  • Kemasan siling yang dipilih perlu selamat, lasak dan sesuai.

Kemasannya bahan tak sesuai hanya cacatkan pandangan ruang

SILING adalah struktur bahagian atas ruang dalaman dan bertindak sebagai bahagian bawah bumbung selain menyembunyikan elemen seperti saluran elektrik, penghawa dingin, pembesar suara, perenjis air ketika kebakaran dan sebagainya.

Namun pada masa sama, siling turut menjadi teras bagi membolehkan aksesori hiasan dalaman berfungsi seperti lampu dan kipas.

Rekaan siling bergantung kepada ketinggiannya. Justeru, pereka dalaman yang bijak pasti akan mengambil kira ketinggian dulu diikuti material, keperluan lampu, kipas dan penghawa dingin.

Kemasan siling perlu menarik membabitkan estetika warna, tekstur serta corak dan lazimnya ia ditentukan oleh pilihan bahan kemasannya. Tanpa kemasan sesuai dikhuatiri menyumbang kepada kecacatan pemandangan ruang secara menyeluruh.

Bahan dan kemasan adalah komponen penting elemen reka bentuk dalaman dan berupaya mendefinisikan fungsi sesuatu ruang dalaman. Pemilihannya dapat menguatkan konsep reka bentuk, memberi kesan kepada ruang, pandangan visual serta ekspresi kualiti, bentuk dan gaya.

Justeru, penggunaannya perlu dipastikan memenuhi beberapa kriteria berikut:
Fungsi

  • Ia haruslah selamat dan selesa, tahan lasak, mudah dibersihkan, dijaga dan dibaiki. Pada masa sama, ia juga harus memiliki darjah ketahanan kebakaran dan kesesuaian dari segi nilai akustik.

    Estetika

  • Nilai kecantikan dari segi warna dan keadaan semula jadi dengan sesuatu kawasan
  • Tekstur sesuatu bahan
  • Kesesuaian corak dan rekaan.

    Ekonomi

  • Kos awalan diperlukan serta pemasangan
  • Kos sepanjang hayat yang mengutarakan ketahanan bahan selain belanja membersih, menjaga, membaiki dan serta mengganti jika perlu.

    Ada dua jenis siling menghiasi ruang kediaman iaitu:

  • Siling Konkrit Asal
    Ia adalah siling yang terhasil daripada permukaan bawah lantai konkrit dan kemasan lazimnya cat air. Namun, ada juga kemasan lapis atau papan gipsum yang dibina secara terus.
  • Siling gantung
    Siling gantung tanpa penyambung diperbuat dari papan gipsum dan sambungannya dilepa dengan kapur (gipsum) dan dicat. Ia adalah siling yang dibina dan digantung pada siling konkrit. Lazimnya struktur gantungan menggunakan besi dawai (galvanis) atau kayu bergantung jenis kemasan bagi permukaan siling itu.

    Kemasan siling pula dibahagikan kepada kategori berikut:

  • Tanpa penyambung
  • Berpanel – diperbuat daripada kepingan bod simen.
  • Jejalur – diperbuat daripada logam atau papan jalur.
  • Terbuka – diperbuat daripada logam atau kayu dengan corak yang berongga.
  • Dekoratif – diperbuat daripada papan gipsum dengan panel dekoratif menghiasi permukaan kumai serta siling.

    INFO: Tip rekaan/binaan tambahan bagi mencantikkan siling

  • Kubah
    Ia membentuk fokal selain meninggikan siling. Rekaan corak menarik sekeliling kubah diperbuat daripada bahan poliester dan gentian kaca seterusnya hiasannya berupa lampu gantung dan kipas siling.
  • Panel Tengah
    Ia membantu mencantikkan siling selain membentuk titik tumpu. Ia juga berfungsi sebagai pembahagi ruang, membentuk titik fokus selain menggantikan binaan kubah yang tidak dapat dibina akibat tinggi siling terhad. Binaan panel tengah hanya membabitkan kumai hias yang dicorakkan bentuk bulatan. Di tengahnya dipasang lampu gantung dan kipas.
  • Birai Hias
    Fungsinya adalah untuk menutup dan mencantikkan sambungan dinding serta siling. Ukurannya bergantung ketinggian siling dan luas ruang. Patuhi nisbah yang betul supaya birai tidak nampak terlalu kecil atau besar.
  • Penyangga (corbel)
    Binaannya membabitkan sudut tiang dan penjuru tepi rumah serta dinding. Ia tidak mempunyai fungsi tertentu melainkan sekadar hiasan

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita, DEKOR

%d bloggers like this: