Toman, sebarau Kenyir nanti pemancing BOTR

Oleh Abu Bakar Ali

  • Foto
  • PENULIS bersama toman yang mudah dijinakkan menggunakan umpan rahsia sebelum dijadikan sushi oleh seorang chef, ketika memancing di Tasik Kenyir, baru-baru ini.
  • Foto
  • ZAID Shafie bersama sebarau Tasik Kenyir yang dikail sebelum mengambil bahagian dalam BOTR 24 Jun ini.

RM20,000 habuan naikkan arapaima gigas

TASIK Kenyir di Terengganu bakal diserbu selama tiga hari mulai 24 Jun ini apabila kaki pancing seluruh negara yang dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan memancing ‘Boat On The Road’ edisi kedua.

Pertandingan anjuran Berita Harian dan TV3 dengan kerjasama kerajaan Terengganu, kali ini lebih mendebarkan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, setuju menggandakan tawaran kepada RM20,000 bagi pemancing yang menaikkan ikan arapaima gigas yang menghuni dasar tasik itu.

Selain ikan pemangsa yang besar itu, Ahmad juga setuju memberikan hadiah khas kepada pemancing yang menaikkan ikan Kenyir iaitu ikan asal tasik berkenaan yang kemudian diabadikan sempena nama tasik berusia 23 tahun yang siap dibina pada 1988 itu.

Tasik seluas 2,600 kilometer persegi dengan 340 pulau itu adalah tasik buatan terbesar manusia dan dasarnya penuh dengan spesies pemangsa yang pasti menjadi kegilaan kaki pancing.

Antara spesies yang kerap menjadi idaman kaki casting dan pemancing dasar ialah toman, sebarau, siakap air tawar, kelah, temoleh, patin, kaloi, baung dan belida.

Semua spesies ini amat pemalu dan perlu dipancing mengikut kaedah dan waktu yang tepat sekali gus menuntut semua peserta BOTR 2011 kali ini tidak bertindak gopoh atau menggunakan teknik dan perkakasan memancing yang salah.
Tidak ketinggalan juga ikan arapaima gigas atau ‘ikan naga’ yang perlu dipancing menggunakan teknik dan kemahiran tinggi kerana ikan besar ini terlalu sukar membaham umpan kecuali selepas menyelidik tabiat selera sebenarnya.

Justeru, individu yang menaikkan ikan dari tasik berkenaan akan diiktiraf sebagai pakar memancing lebih-lebih lagi syarat penggunaan umpan yang yang ditetapkan Berita Harian menegah penggunaan anak itik, organ haiwan dan umpan tapa.

Ketiga-tiga jenis umpan ini dilarang dengan tujuan mendidik peserta memancing menggunakan kemahiran dan bukannya memaksa mangsa membaham umpan berkenaan selaras dengan konsep ‘Tangkap dan Lepas’ yang diamalkan selama ini.

Penulis bersama beberapa rakan sempat memanaskan badan sambil menduga beberapa lubuk sekitar Kenyir baru-baru ini dan hasilnya amat menggalakkan apabila rahsia toman mula diketahui hasil maklumat penduduk tempatan.

Meskipun banyak lagi kaedah dicuba, tetapi ada satu petua amat berkesan memancing ikan di situ yang perlu diketahui untuk menaikkannya manakala set memancing tidak perlu perkakas mahal.

Jika semuanya tersedia dan kaedah serta tekniknya tepat, tidak mustahil arapaima gigas yang diuar-uarkan sebesar sebuah perahu bakal diheret ke darat sekali gus poket dipenuhi wang tunai RM20,000 seperti dijanjikan.

Dalam pada itu, penganjur menasihatkan peserta supaya bertanding secara positif, profesional dan jujur selain mematuhi semua jadual perjalanan dan syarat pertandingan kerana edisi kali ini dijangka menyaksikan lebih 800 kaki pancing ikan air tawar berhimpun di tasik berkenaan untuk mengecapi pengalaman memancing ikan terbaik dunia selama 12 jam mulai 25 Jun ini.

Posted June 28, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: