Seronoknya memancing malam

Oleh HAKIMI ISMAIL
MOHD. Azhar Abdul Razak dan keluarganya gemar memancing pada malam minggu di Kolam Coffee Village.

 

Namun tidak bagi segelintir penduduk yang menjadikan waktu malam sebagai ruang melepaskan ‘gian’ memancing.

Jika kebiasaannya, pemancing tegar melabuhkan tali joran pada waktu siang, keadaan agak berbeza di Kolam Coffee Village.

Ini kerana ada penduduk lebih gemar memancing pada waktu malam di kolam tersebut. Begitulah keunikan Kolam Coffee Village yang terletak di pinggir Putrajaya.

Disebabkan keistimewaan itu, lokasi ini menjadi tumpuan pemancing dan pengunjung waktu malam yang akan terus bersantai di situ sehingga dinihari. Hanya pada waktu itulah, mereka dapat merasai kelainan untuk menghabiskan sisa-sisa malam mereka.

Bagi yang sudah berkeluarga, tengah malam tidak semestinya waktu untuk melelapkan mata khususnya pada hujung minggu. Sesekali membawa anak-anak menikmati panorama kolam buatan selepas waktu malam mungkin tidak ada salahnya, lebih-lebih lagi Kolam Coffee Village turut menyediakan kemudahan wifi untuk pelanggannya.

Kolam Coffee Village yang sudah beroperasi sejak empat tahun lalu itu dimiliki oleh Mohd. Rizuwan Mohd. Sharif, 36. Beliau turut menyediakan kemudahan dan prasarana lengkap sebagai sebuah pusat rekreasi. Antaranya kafetaria, pusat karaoke, surau dan tempat bersantai.

Menurut Mohd. Rizuwan, Kolam Coffee Village mula dipenuhi pengunjung seawal pukul 8 pagi dengan kemuncaknya menjelang detik 6 pagi, keesokan harinya.

“Dengan kadar bayaran satu jam RM6, pemancing boleh memancing selama yang mereka mahu. Terdapat banyak pakej ditawarkan dan antara yang menjadi pilihan adalah pakej RM20 untuk empat jam.

“Bagi memeriahkan suasana hujung minggu, kami juga menganjurkan pertandingan mingguan dengan bayaran RM25 untuk satu joran,” katanya ketika ditemui S2, baru-baru ini.

Katanya, aktiviti tersebut merupakan satu bentuk hiburan bagi mencari alternatif untuk meredakan tekanan selepas seharian sibuk di tempat kerja.

Bagi seorang kaki pancing, Mohd. Saad Hassan, 43, memancing di Kolam Coffee Village memberikan suasana berbeza dengan kolam-kolam memancing yang pernah dikunjunginya. Katanya, banyak kemudahan disediakan di kolam Coffee Village dan ia selesa dikunjungi bersama keluarga.

“Kebiasaannya, saya datang bersama keluarga. Memancing di sini juga boleh mententeramkan minda kerana suasananya amat menyenangkan.

“Lagipun di sini, ikan yang dilepaskan besar-besar dan senang makan umpan, tidak seperti di kolam lain yang memaksa saya menunggu seperti ‘bangau’,” katanya.

Seorang lagi pemancing, Mohd. Azhar Abd. Razak, 27, berkata, dia memancing pada waktu malam bertujuan menghilangkan rasa bosan, di samping mengeratkan silaturahim bersama keluarga.

“Saya datang bersama keluarga. Selain memancing, kami juga berkelah di sini dan aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan kami sekeluarga,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Andika Wirman, 27, berkata, memancing pada waktu malam bersama rakan-rakan menghilangkan tekanan, sekali gus melupakan segala masalah.

“Selain memancing, saya juga dapat berjumpa rakan-rakan sekerja yang turut berkongsi minat yang sama,” katanya.

Posted July 1, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: