5 perhentian

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

  • Foto 
  • Foto 
  • Foto
  •  

MENGELILINGI kota London menaiki bas dua tingkat atau ‘double decker’ melewati 53 lokasi pelancongan, pasti meninggalkan kenangan abadi. Itu yang dilalui Wartawan Berita Minggu, MOHD AZRONE SARABATIN ketika melawat ibu negara England itu, baru-baru ini dan mencatatkan keistimewaan lima perhentian paling menarik perhatiannya.

RASANYA tidak perlu lagi memperkenalkan London kepada pengembara kerana ibu kota England ini sudah masyhur seantero dunia dengan keunikan bangunan klasik dan moden, landskap konkrit dan tumbuhan, muzium, teksi antik serta pelbagai mercu tanda lain yang memberi identiti kepada kota ini.

Ada dua cara mudah dan murah mengelilingi kosmopolitan ini, menggunakan `Big Bus’ atau berbasikal, sesuai sekali buat mereka mereka yang gemar berjalan kaki. Penulis yang berpeluang melawat kota terkenal ini memilih bas `double decker’ dan mengambil masa dua hari menghabiskan semua perhentian.

Lima destinasi menarik perhatian adalah Perhentian 10 iaitu Trafalgar Square yang menempatkan galeri nasional, galeri potret nasional dan Nelson’s Column. Nelson’s Column diabadikan sempena nama Lord Nelson, laksamana pasukan British di Trafalgar pada zaman silam.

Biarpun destinasi ini terkenal kerana kehadiran burung merpati, entah apa sebabnya penulis tidak dapat melihat walau seekor pun burung jinak itu ketika singgah di situ. Mungkin kerana cuaca panas mencecah 27 darjah Celsius menyebabkan merpati menjauhkan diri.

Kebetulan pula hari persinggahan jatuh pada sambutan Easter, dataran berkenaan dipenuhi ribuan pengunjung untuk bersantai sambil menyaksikan pertunjukan pentas bertemakan pembunuhan Jesus. Suasana seperti itu mungkin menyebabkan merpati takut menghampiri.

Perhentian 15, London Eye menempatkan gondola gergasi di tebing Sungai Thames yang menjadi mercu tanda London, selain South Bank Arts Centre dan Stesyen Waterloo. Menaiki London Eye membolehkan pengunjung melihat pemandangan seluruh kota London termasuk Istana Buckingham, Tower of London dan menara jam Big Ben.
Direkabentuk arkitek terkenal, David Marks dan Julia Barfield, London Eye memiliki 32 gondola mampu memuatkan sehingga 800 pengunjung. Perhentian 27, Istana Buckingham pula memberikan peluang pengunjung melihat istana raja Great Britain.

Memang tuah penulis, persinggahan di situ kebetulan pula jatuh sama hari dengan raptai perkahwinan bakal pewaris takhta Britain, Putera William dan Kate Middleton. Pasangan itu melangsungkan perkahwinan di Gereja Westminster Abbey, London pada 29 April lalu dan kemudian diarak ke Istana Buckingham.

Biarpun tidak dapat menatap wajah mereka, menyaksikan perarakan kuda untuk majlis raptai sudah memadai bagi penulis.

Perhentian 20, Tower of London membolehkan pengembara singgah di Tower Hill, menaiki kapal pelancong di Sungai Thames dan menara jambatan. Perhentian 6, Oxford Circus menawarkan kembara ke Oxford Street dan Fitzrovia. Oxford menempatkan universiti terkenal dunia, Universiti Oxford dan syarikat penerbit buku, Oxford Publishing Press.

Pengembaraan kami bermula di Perhentian Kessington Palace jam 9 pagi. Bas pertama berlepas jam 8.30 pagi manakala yang terakhir jam 7 malam. Ada tiga perkhidmatan `Big Bus’, merah dan dan biru singgah di sesuatu destinasi antara lima hingga 15 minit manakala rangkaian bas hijau setiap 20 hingga 30 minit.

Perhentian pertama adalah Green Park Underground berhampiran St James Palace manakala Perhentian 53, Bond Street menawarkan Southamton Row dan Muzium British. Setiap bas menyajikan tayangan dokumentari bukan saja dalam bahasa Inggeris malah Perancis, Jerman, Jepun dan China dengan bantuan alat penterjemahan.

Perhentian lain yang tidak kurang hebatnya adalah Perhentian 23, Westminster Bridge yang sesuai untuk seisi keluarga kerana ada Akuarium London, Dali Universe dan River Cruises. Begitu juga Perhentian 26, Westminster Abbey yang menempatkan gereja yang wujud sejak 1546 serta New Scotland Yard dan Westminster Cathedral.

Memori mengenai Puteri Diana diabadikan pada satu perhentian bas dua tingkat ini iaitu di Perhentian 42, Princess Diana Memorial Playground. Di sini juga ada The Elfin Tree dan Round Pound.

Nostalgia mengenai Diana, wanita cantik yang berkahwin dengan putera raja sehingga namanya tersohor ke seluruh dunia tetapi menemui ajal dalam kemalangan tragik terbawa-bawa dalam minda penulis sehinggalah Big Bus berhenti di destinasi terakhir.

Posted July 19, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: