Syurga ski

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

  • Foto 
  • Foto
  • Chimbulak menjadi pelengkap kunjungan ke Almaty.
  • Foto
  • Bazar Hijau membentangkan pelbagai warna kehidupan penghuni Almaty.

Jangan lupa cuba susu unta, kuda

SEPANJANG penerbangan lebih lapan jam dari Kuala Lumpur menuju Almaty, Kazakhstan, minda penulis sebenarnya berselirat dengan pelbagai persoalan dan tanda tanya yang menuntut jawapan.

Jujur, destinasi yang akan diteroka selama seminggu itu masih terlalu asing biarpun Almaty sering jadi lokasi persinggahan penyanyi Malaysia yang menyimpan impian mencipta pengaruh di peringkat antarabangsa.

Namun segala yang berselirat dalam minda pantas dibawa pergi sebaik kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty. Panorama rabung pergunungan diselaputi glasier yang melatari buminya, ditemani bayu dingin bertiup lembut menyambut ketibaan wakil media yang bertandang ke negara bekas naungan Soviet ini.

Kunjungan kami atas jemputan Kedutaan Republik Kazakhstan di Kuala Lumpur bermula dengan perjalanan ke hotel penginapan, Hotel Dostyk di Kurmangazy Street yang menjadi nadi Almaty. Kiri kanan laluan menyajikan panorama mendamaikan pancaindera.

Teruja menghirup udara segar daripada deretan tumbuhan hijau, terdetik di hati bahawa Almaty menjanjikan pelbagai keseronokan untuk diterokai. Metropolitan ini sarat tarikan dan keindahan, malah kota yang dikenali dengan kepelbagaian epal dan tulip ini turut membentangkan pengalaman sukar dilupakan.

Penerokaan sebenar bumi Almaty bermula selepas membersihkan diri. Destinasi pertama dituju, Restoran Alasha yang menyajikan kepelbagaian hidangan tradisi masyarakat Kazakh.
Menjadi tradisi bangsa Kazakh, tetamu disajikan sejenis hidangan dipanggil beshbarmak, rebusan variasi daging seperti kuda, biri-biri dan lembu sebagai mengalu-alukan kedatangan. Beshbarmak dihidangkan bersama rebusan pasta dilengkapi sup biri-biri, sebelum sajian utama dinikmati. Hampir saja tekak kami menolak.

Beshbarmak bermaksud lima jari, dihidangkan dalam dulang dan dimakan menggunakan tangan melambangkan keakraban di antara tuan rumah dan tetamu.

Melihat wajah masing-masing yang berkerut, rombongan kami yang ditemani Setiausaha Kedua Kedutaan Republik Kazakhstan di Kuala Lumpur, Azat Shakirov cuma mampu tertawa. Azat seterusnya mengusulkan kami mencuba minuman tradisi, kumys (susu kuda betina) dan shubat (susu unta) yang diperam.

Sekali lagi dahi masing-masing berkerut. Rasa yang tajam dan bergas sebaik minuman itu memasuki rongga tekak, membuatkan kami cuma mampu meneguk sedikit tanpa menghabiskannya.

Menghirup warna sebenar Almaty diteruskan pada hari kedua apabila kami dibawa ke pergunungan Tian Shan, lebih sejam perjalanan dari hotel penginapan. Di situ, kami ke Medeo yang menempatkan lingkaran ski di pergunungan tertinggi dunia.

Pengunjung mempunyai pilihan sama ada menaiki kenderaan atau memanjat 824 anak tangga untuk ke puncak. Medeo antara destinasi wajib singgah yang melengkapi kembara ke Almaty. Hanya selepas sampai di Medeo, baru seorang itu layak mengaku pernah menjejakkan kaki di kota ini.

Dari Medeo, kami menaiki kereta kabel ke Chimbulak iaitu resort ski bertaraf dunia. Disebabkan musim dingin baru berlalu, kami tidak dapat meneruskan perjalanan ke puncak. Chimbulak destinasi pilihan pencinta ski terutama ketika salji lebat dari November hingga April.

Lantaran keindahannya yang sukar diungkapkan dengan perkataan, ada yang memberi jolokan Chimbulak sebagai Switzerland Asia kerana panorama hebat yang disajikan lokasi peranginan popular itu.

Untuk memanaskan badan, pengunjung boleh menikmati kopi panas atau teh hangat – minuman kegemaran masyarakat Kazakh – di kafe yang berderetan di kawasan pergunungan, namun andai mahu menikmati gaya hidup bandar, Almaty mempunyai rangkaian restoran, kafe, pusat hiburan, opera dan balet untuk dicuba.

Pengunjung juga boleh memilih Kompleks Tau Dastarkhan di kaki Gunung Zaliyskiy Alatau yang menempatkan pelbagai sajian, sama ada Eropah, Georgia atau Kazakh yang boleh dinikmati dalam khemah tradisi pilihan. Tak perlu gusar mencari makanan halal kerana negara Islam ini begitu menitikberatkan isu penting dalam kalangan pelancong muslim.

Luangkan juga sedikit masa ke Bazar Hijau, pasar basah yang mengingatkan suasana di Farmer’s Market, Los Angeles. Biarpun tidak dilengkapi binaan kompleks beli-belah komersial seperti Farmer’s Market, bazar tradisi ini menyediakan pelbagai pilihan makanan segar dalam suasana selesa.

Seketika, anda akan lupa segala masalah apabila leka melihat kehijauan sayur-sayuran segar selain aneka buah-buahan seperti epal, anggur, strawberi dan bunga-bungaan serta daging mentah.

Seperkara yang mengagumkan mengenai Bazar Hijau ialah persekitarannya bersih dan kering – panorama yang pasti sukar dilupakan andai berkunjung ke negara yang baru berusia 20 tahun ini.

INFO

Lokasi wajib dilawati di Almaty

  • Republic Square atau New Square, dataran terbesar lokasi pelbagai acara penting dan destinasi menghirup udara segar.
  • Dendopark, terletak di pinggir bandar jauh daripada kesibukan dan hiruk pikuk kota menghidangkan seni bina moden dan kontemporari.
  • Panfilov Park menempatkan tugu peringatan pejuang Kazakhstan yang menghalang kemasukan tentera Nazi ke Moscow pada 1941 selain menempatkan Muzium Peralatan Muzik Nasional dan Zenkov Cathedral.
  • Puncak Kok-Tobe, menempatkan Menara Televisyen Almaty iaitu antara simbol kebanggaan Almaty. Lokasi pilihan bagi menikmati keindahan metropolitan dan sering jadi lokasi acara serta konsert terbuka.

Posted July 19, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: