Terjatuh kalau gopoh melangkah

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


 

LELAKI itu mengakui dadanya berdegup kencang. Sesekali tangannya menyeka peluh jantan yang mula mengalir ke dahinya. Affendy Abdullah, 27, sedikit gementar. Maklumlah, ia merupakan pengalaman pertamanya mencuba aktiviti pengembaraan di atas pokok dikenali sebagai Skytrex Adventure.

Walaupun sudah biasa menggunakan harness atau abah-abah, carabiner dan pulley ketika melakukan aktiviti memanjat tembok di sekitar Putrajaya sebelum ini, cabaran yang dilaluinya kali itu nyata berbeza.

Pengembaraan kategori ekstrem tersebut memerlukannya melepasi 34 jenis halangan yang disediakan dalam tempoh dua hingga tiga jam.

Lebih menambah cabaran, kesemua cabaran seperti Zig Zag Bridge, Sky Bridge, Slack Track, The Quake, Thrilling Trunk, Wild Rocket dan Flying Fox dilakukan pada ketinggian 20 hingga 23 meter dari permukaan tanah.

“Pastikan carabiner disangkut di tali penanda yang disediakan di setiap platform. Ambil masa ketika melakukan setiap halangan, jangan tergopoh-gapah.

“Ingat, keselamatan diri adalah paling penting semasa berada di atas nanti,” kata-kata seorang petugas semasa sesi taklimat keselamatan dan demonstrasi sebelum itu seakan-akan terngiang-ngiang di telinganya.

Tanpa membuang masa, jurutera reka bentuk di sebuah syarikat antarabangsa itu memulakan aksinya. Satu-persatu halangan yang terhidang ditempuh dengan berhati-hati. Perasaan gementarnya mula berkurangan malah dia semakin seronok.

BIARPUN gayat dan ‘menakutkan’ kepuasan jelas dirasai para peserta sebaik sahaja menghabiskan satu-satu cabaran.

 

Selain menjalani aktiviti itu, dia juga terpesona melihat pokok-pokok yang menjulang tinggi di sekitar Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) atau dulunya lebih dikenali sebagai Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam itu.

“Sebelum ini saya hanya berpeluang melihat aktiviti ini di kaca televisyen. Apabila sudah mencubanya sendiri barulah saya tahu ia tidaklah semudah yang disangkakan.

“Perasaan gayat, gementar, penat, teruja semua bercampur-baur semasa berada di atas platform, lebih-lebih lagi apabila menoleh ke bawah,” katanya yang menetap di Gombak, Kuala Lumpur.

Ujian mental

Affendy yang baru pertama kali berkunjung ke TBNSA berkata, adventur tali tinggi itu mendesak adrenalin kerana ia melibatkan ketinggian, kepantasan dan ujian mental serta tenaga tubuh.

“Aktiviti ini sangat mengujakan. Peserta sengaja diuji dengan halangan berbeza-beza pada tahap awal dan penghujung pengembaraan. Biarpun kepenatan, saya cukup teruja melakukannya,” ujarnya yang turut meraikan sambutan hari keluarga syarikatnya di taman itu.

Terletak di kawasan seluas 10 hektar, Skytrex Adventure merupakan merupakan lokasi pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan eko-rekreasi merentasi halangan ketinggian.

BERGAYUT umpama Tarzan mungkin menjadi pengalaman yang seronok dan tidak akan dilupakan.

 

Tidak hairanlah, sejak beroperasi sekitar tahun 2007, ia menjadi tarikan utama pengunjung-pengunjung ke TBNSA selain daripada aktiviti berbasikal, memancing dan beriadah di kawasan hutan seluas 817 hektar itu.

Pengarah Urusan Skytrex Adventure Sdn. Bhd., Azlan Idrus berkata, terdapat tiga kategori pakej yang ditawarkan kepada pengunjung ke situ bermula dari Little Adventure, Big Thrill dan Extreme Challenge dengan bayaran antara RM35 hingga RM50.

Azlan menambah, setiap cabaran yang disediakan pada setiap laluan mempunyai darjah kesukaran berbeza-beza pada ketinggian antara tiga hingga 23 meter.

“Disebabkan itu, peserta perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada ketika melakukan setiap cabaran dan halangan.

“Pengembaraan yang dilalui adakalanya memerlukan peserta berdiri, memanjat, berjalan, bergayut dan melakukan pelbagai pergerakan tubuh. Di sinilah ketangkasan dan kekuatan mental dan fizikal mereka diuji,” jelasnya.

Laluan kecemasan

Di samping itu, peserta yang tidak mahu meneruskan cabaran berikutnya boleh menarik diri dengan menggunakan beberapa laluan kecemasan yang disediakan dikenali sebagai Chicken Exit.

“Namun begitu, peserta tidak perlu panik atau bimbang sekiranya berlaku sebarang kecemasan kerana terdapat petugas yang sentiasa mengawasi di atas dan di bawah platform untuk mengawasi pergerakan dan memberi pertolongan sekiranya perlu,” katanya.

Azlan menjelaskan, usaha mempopularkan aktiviti itu di negara ini tercetus ketika dia dan salah seorang pengasas Skytrex Adventure, Jullien Repllien bercuti di Perancis ketika mereka menuntut di Universiti Hull, United Kingdom sekitar penghujung tahun 90-an dahulu.

Di sana, katanya, terdapat lebih 500 taman eko-rekreasi seumpama itu yang sering menjadi tumpuan penggemar-penggemar sukan lasak dan ekstrem dari sekitar Eropah.

“Namun, selepas pulang ke Malaysia saya mendapat tawaran bekerja sebagai pegawai undang-udang di sebuah syarikat pertoleum terkemuka menyebabkan impian itu terpaksa dipendamkan seketika.

“Hanya sekitar tahun 2007, barulah ia dapat direalisasikan. TBNSA dipilih kerana ia strategik dan menjadi tumpuan warga Lembah Klang di samping keindahan alam semula jadinya yang unik dan kekal terpelihara,” katanya.

FAKTOR gender tidak menjadi halangan bagi sesiapa yang mahu mencuba cabaran yang disediakan.

 

Jelas Azlan, pihaknya bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menentukan jenis pokok yang sesuai digunakan. Pokok-pokok itu perlu dipastikan jenis dan ketahanannya agar selamat untuk kerja-kerja mengikat kabel dan pembinaan platform.

Antara pokok-pokok yang digunakan setakat ini, kata Azlan ialah dari jenis meranti, kempas dan jelutong.

Sijil keselamatan

Berbicara tentang soal keselamatan, Azlan menjelaskan telah mendapatkan sijil khas yang dikeluarkan oleh sebuah badan antarabangsa, Apave, untuk menilai semua aspek teknikal seperti tahap ketahanan, keselamatan dan kepatuhan syarat-syarat tertentu.

“Pada masa yang sama, pemantauan secara berkala turut dilakukan secara harian dan bulanan bagi memastikan peralatan seperti tali, kabel dan alat keselamatan berada di dalam keadaan baik dan selamat.

“Malah, kami turut mewajibkan setiap peserta mengisi borang pengisytiharan diri dan menjalani sesi taklimat dan demonstrasi keselamatan yang disediakan di samping memakai kasut dan pakaian yang sesuai sebelum membenarkan mereka mencuba aktiviti ini,” katanya.

Bagi seorang peserta, Faizal Hasan, 27, cabaran yang disediakan sesuai untuk semua peringkat umur, dari peringkat kanak-kanak sehinggalah dewasa.

“Ia bukan sekadar aktiviti lasak semata-mata, sebaliknya direka untuk turut menguji keberanian, memupuk semangat kerjasama dan keyakinan diri seseorang.

“Di samping keseronokan beraktiviti, peserta juga dapat melepaskan tekanan apabila menikmati keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di sini. Pengalaman ini pasti akan mereka ingati,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Arshad Lateh, 47, yang telah mencuba cabaran itu memberitahu, Skytrex Adventure menjadi tarikan kepada pengunjung ke TBNSA selain tarikan sedia ada seperti Taman Haiwan, Rumah Iklim Empat Musim, Kolam Pancing dan tapak sukan paintball.

Menurutnya, aktiviti itu mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, sama seperti aktiviti perkelahan atau mengunjungi destinasi percutian lain yang sering dilakukannya sekeluarga.

“Apabila anak-anak ini melihat kita turut sama beraktiviti dengan mereka, secara tidak langsung mereka akan rasa lebih dekat dengan kita seterusnya membuka ruang untuk berinteraksi,” katanya.

Posted July 19, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: