Jaket penyejuk badan

PEMAKAI akan kelihatan sedikit pelik kerana jaket tersebut akan menggelembung apabila digunakan.

 

KUCHOFUKU yang bermaksud ‘pakaian berhawa dingin’, telah menerima tempahan yang tinggi ekoran catuan tenaga elektrik di Jepun selepas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu pada 11 Mac lalu.

Permintaan terhadap produk yang mampu memberi kelegaan kepada tubuh badan daripada haba panas semakin meningkat dan mendapat perhatian.

Salah satunya ialah jaket Kuchofuku. Dua kipas elektrik di dalam jaket tersebut boleh dikawal untuk menyedut udara pada kelajuan yang berbeza, sekali gus membuatkan pakaian itu kelihatan kembung.

Walaupun kelihatan sedikit pelik disebabkan gelembung itu, setakat ini tiada pengguna yang mengeluh berpakaian sedemikian kerana lebih suka berasa sejuk berbanding kelihatan sedikit unik.

“Saya bekerja di tempat yang sangat panas dan perlu memakai pakaian lengan panjang, sebab itu saya datang ke sini untuk membeli jaket ini untuk kekal sejuk ketika bekerja,” kata Ryo Igarashi yang ditemui ketika keluar dari pejabat Kuchofuku Sdn. Bhd. selepas membeli sepasang jaket berhawa dingin.

Igarashi, 33, menyatakan pakaian tersebut menawarkan kelegaan kepadanya yang bekerja di tapak pembinaan yang terdedah pada cuaca panas.

Hampir 1,000 syarikat di Jepun menggunakan Kuchofuku termasuklah syarikat gergasi automobil, pengeluar keluli, syarikat makanan dan firma pembinaan.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menjual kusyen dan tilam berhawa dingin yang menggunakan sistem jaring plastik paten Kuchofuku yang membolehkan udara mengalir sambil menyokong berat badan.

Bateri untuk 11 jam

Produk tersebut dianggap paling signifikan sejak loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi ditutup gara-gara terjejas teruk dek bencana. Gangguan terhadap bekalan tenaga elektrik menyebabkan kerajaan mengisytiharkan syarikat-syarikat besar di Tokyo dan wilayah utara Tohoku wajar mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 15 peratus.

Inisiatif tersebut secara tidak langsung tidak memerlukan para pekerja menanggalkan tali leher atau menaikkan suhu penyaman udara untuk keselesaan semasa bertugas.

ICHIGAYA (kiri) menunjukkan dua buah kipas yang terdapat di belakang jaket Kuchofuku.

 

Lebih menarik, ia juga memberi kesejukan kepada pekerja buruh di tapak pembinaan.

Berdasarkan laporan pihak kastam, import kipas elektrik melalui pelabuhan Tokyo mencecah rekod tertinggi pada bulan Mei. Ia melambung sebanyak 70 peratus daripada tahun sebelumnya pada 1.24 juta unit.

Jelas Presiden syarikat Kuchofuku Sdn. Bhd., Hiroshi Ichigaya, kipas-kipas di dalam jaket Kuchofuku disambungkan pada pek bateri lithium-ion yang mampu bertahan selama 11 jam untuk sekali cas, menggunakan sedikit tenaga yang digunakan oleh alat penyaman udara konvensional.

Kata Ichigaya lagi, pakaiannya itu mengurangkan rasa panas dan menawarkan penyelesaian bertentangan iaitu seseorang akan berasa lebih sejuk sekiranya memakai baju yang lebih tebal berbanding membuka pakaian.

“Orang ramai kini cuba memakai senipis mungkin pakaian seperti kempen Super Cool Biz. Tetapi apabila menyarung Kuchofuku, lebih tebal fabrik jaket itu, tubuh anda akan lebih dingin,” kata Ichigaya.

Sebanyak 20 liter udara sesaat akan berputar melalui jaket dan keluar menerusi kolar dan lengan baju bagi mengeringkan peluh dan menyejukkan tubuh badan si pemakai.

Idea mencipta jaket penyejuk badan peribadi tersebut mula bermain di fikiran jurutera Sony, Ichigaya selama dua dekad sebelum pada awal tahun 1990-an, dia berusaha mencipta alat penghawa dingin yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit.

“Idea ini muncul apabila memikirkan bahawa kita tidak memerlukan suhu yang sejuk untuk segenap ruang bilik. Apa yang penting individu yang berada di dalam merasai kedinginan itu,” katanya

Kuchofuku yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2004, telah menarik perhatian dan mendapat permintaan tinggi daripada pihak pengilang dan syarikat pembinaan. Menariknya baru-baru ini, mereka turut menerima tempahan yang banyak daripada kumpulan pekerja yang bekerja di pejabat dan suri rumah.

Jaket penyejuk udara bersaiz standard dijual pada harga 11, 000 yen (RM422), manakala saiz yang lain dijual pada harga yang lebih tinggi. – AFP

Posted August 22, 2011 by iqmarl in Berita

%d bloggers like this: