Kurau besar RM1,610

Oleh Mohamad Yatim Latip
MOHD Rizal mohd yunos menunjukkan kurau 15.2 kg yang dijual kepada pelanggan.

MOHD Rizal mohd yunos menunjukkan kurau 15.2 kg yang dijual kepada pelanggan.

Selat Melaka kembali jadi lubuk spesies ikan mahal, rezeki melimpah kepada nelayan

PEMANCING dan penggemar ikan kurau di Melaka kembali ceria selepas tersebarnya berita seorang peraih ikan di Kampung Limbongan, dekat Klebang, berjaya menjual dua ekor ikan spesies itu lalu meraih pendapatan lumayan sebanyak RM1,610, minggu lalu.

Peraih ikan terbabit, Hasan Loyot, 47, berjaya menjual kurau pertama seberat 22 kilogram pada harga RM1,010 manakala kurau kedua seberat 15.2 kilogram pada harga RM600.

Hassan berkata, ikan itu dibeli dari nelayan yang mencari rezeki di perairan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. Menurutnya, beliau bernasib baik memperoleh ikan bersaiz besar itu kerana ia sukar ditemui dan jarang dijual.

Beliau mengakui, sepanjang tujuh tahun berniaga menjual ikan, ini kali keempat mendapat ikan kurau besar.

Hassan berkata, ikan kurau sebesar itu amat jarang ditemui di laut Selat Melaka manakala senohong yang lebih sedap isinya, langsung tidak kelihatan kelibatnya sejak lima tahun lalu.

“Mungkin disebabkan ikan itu makin jarang ditemui, ada penggemar ikan itu dari sekitar negeri ini sanggup membeli pada harga tinggi iaitu RM46 sekilogram yang ditawarkan.
“Saya tidak sangka dengan sambutan penggemar ikan kurau dan berharap banyak lagi ikan sebesar itu ditangkap nelayan dengan syarat, ikan yang memiliki telur perlu dilepaskan bagi membolehkan ia membiak semula,” katanya.

Bagi kebanyakan nelayan, tangkapan spesies kurau besar adalah rahmat dan rezeki lumayan yang jarang diperoleh di Selat Melaka. Ini kerana spesies itu dianggap hampir pupus, dikatakan berpunca akibat kecuaian segelintir pengusaha pukat tunda dalam memburu ikan.

Berita penjualan ikan kurau itu turut menggembirakan pengusaha restoran masakan baba dan nyonya, Seafarers di Klebang yang sebelum ini pernah menganjurkan trip memancing untuk memburu kurau dan senohong.

Pemiliknya, Mike Thien yang juga Pengarah Urusan Boat Explorer Sdn Bhd, berkata, kumpulan ikan kurau pernah memberi rezeki lumayan kepada nelayan di Melaka suatu ketika dulu. Malah, katanya, pemancing tegar dari pantai timur dan luar negara berkunjung ke Melaka setiap tahun untuk memancing ikan kurau serta menikmati isinya yang enak.

Thien berkata, spesies ikan kurau hanya ditemui di Selat Melaka dan tidak pernah didapati di Laut China Selatan.

Beliau berkata, ini mungkin disebabkan faktor dasar perairan Selat Melaka yang mempunyai campuran pasir dan lumpur yang menjadi habitat semula jadi untuk ikan kurau membesar dan membiak.

Sementara itu, seorang nelayan Pantai Puteri yang enggan namanya disiarkan, mahu Jabatan Perikanan negeri menguatkuasakan peraturan melarang penggunaan jaring pekap kalangan nelayan di sepanjang pesisir Selat Melaka dengan lebih kerap.

Beliau berkata, penggunaan jaring pekap dikenal pasti sebagai sebahagian penyumbang utama kemusnahan banyak terumbu karang di sekitar Pulau Besar.

“Kehadiran pengusaha bot yang menggunakan pukat tunda dan pukat harimau memburukkan lagi keadaan sehingga stok ikan tertentu di Selat Melaka jauh berkurangan berbanding era 1970-an.

Posted September 8, 2011 by iqmarl in Berita