Talang Tanjung Tuan pengubat tengkujuh

Oleh Nuri Angkasa
JIMMY puas menawan seekor talang seberat 7 kilogram di lubuk Kapal Karam, di Tanjung Tuan, Port Dickson, baru-baru ini.

JIMMY puas menawan seekor talang seberat 7 kilogram di lubuk Kapal Karam, di Tanjung Tuan, Port Dickson, baru-baru ini.

Destinasi alternatif kepada kaki pancing untuk melepaskan gian

LAZIMNYA, naluri kaki pancing untuk turun memancing di laut sebelah Pantai Timur akan merosot disebabkan kebimbangan ditelan gelora laut musim tengkujuh. Tetapi ia langsung tidak menjejaskan minat mereka yang pasti mencari laut sebelah Selat Melaka sebagai ganti melepaskan gian memancing.

Justeru, rombongan berkunjung ke Lubuk Kapal Karam dan Lubuk Batu Mayung di Tanjung Tuan, Port Dickson menjadi pilihan pertama bagi empat kaki pancing dari Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bagi kumpulan ini, kampung halaman tidak semestinya di daratan saja, maka munculah tafsiran baru kumpulan ini yang menjadikan bot, pulau atau daik diiktiraf sebagai kampung mini jika boleh memuatkan empat hingga 10 individu sealiran.

Perkara inilah yang dikongsi anak muda bernama Jimmy yang mengakui laut adalah sebahagian perkampungannya.

Jimmy yang sering berulang alik ke pelantar minyak di perairan Terengganu memilih lubuk kapal karam di Tanjung Tuan sebagai melepas gelisahnya di darat.

Meskipun suasana di Selat Melaka agak santai namun, program sehari itu digunakan untuk memanaskan badan sambil melakukan teknik pancing tunda, popping dan jigging.
Bersama rakan pancing Gunasagaran, Fadhil dan Hasni menghirup udara laut menggunakan khidmat tekong Abang Bakar, kami membuat trolling beberapa pusingan di lubuk kapal karam.

Meskipun rezeki belum di tangan kami, namun kecekapan tekong berpindah ke kawasan lubuk Batu Mayung yang berada tidak jauh dari lokasi pertama. Setiba di Lubuk Batu Mayung, teknik pancing dasar menjadi pilihan, tapi Jimmy tetap dengan kegemarannya menggunakan kepingan logam besi kilat melakukan jigging.

Ketika Jimmy masih mengunjun, Gunasagaran dan Hasni sudah berjaya membuka tirai dengan mendaratkan anak ikan mayung manakala Fadhil dengan anak kerapu.

Kelibat anak ikan itu memberi semangat untuk mereka kekal dalam laut Selat Melaka sehinggalah ikan sasaran muncul dan boleh diusung pulang sebagai bukti ke laut.

Menyedari tangkapan masih kurang, Tekong Abang Bakar terus berlegar mencari lubuk terbaik namun hasil tetap kurang menandakan keresahan semua kaki pancing bakal menyalahkan tekong.

Tanda kehampaan pada wajah Jimmy menceritakan sedikit sebanyak keresahan itu memandangkan waktu kian suntuk untuk kumpulan itu dikerah pulang ke darat.

Sejurus berpindah semula di lubuk kapal karam, rezeki nyata memihak orang yang sabar dan tanpa diduga, popper yang dikarau Jimmy dikejar mangsa.

Selepas beberapa minit bertarung, seekor talang seberat 7 kilogram dapat didaratkan meskipun hanya menggunakan tali utama melalui tali utama 30 paun sahaja.

“Alhamdulillah, dapat juga rezeki penutup dengan ikan talang seberat 7 kilo,” katanya.

Selepas mencatatkan koordinat tempat talang itu ditawan, Jimmy dan Tekong sepakat menutup acara berkenaan sambil berjanji akan mengulangi trip ke Tanjung Tuan sekali lagi.

Apapun kawasan perairan Tanjung Tuan masih menyimpan khazanah laut yang tidak pernah habis terutama ikan talang walaupun hampir setiap hari ikan dikaut oleh kumpulan nelayan laut dalam yang lengkap dengan pelbagai jenis pukat.

Yang pasti, habuan dan rezeki tetap menunggu pemancing yang sabar dan arif mengenai lubuk di sekitarnya tanpa perlu bersusah payah mengesan lubuk ikan menerusi cakap mulut saja.

Posted September 8, 2011 by iqmarl in Berita