Keajaiban negara terkecil Asia

DAMAIKAN jiwa saat melihat matahari terbenam di kaki langit.

 

REPUBLIK Maldives dikenali sebagai sebuah negara pulau yang mengandungi gugusan kepulauan terumbu karang yang terletak di Lautan Hindi dekat selatan pulau Lakshadweep, India.

Populariti Maldives sudah tentunya datang daripada sektor pelancongan kerana terdapat 26 terumbu karang yang diwartakan sebagai wilayah yang mengandungi sebanyak 1,192 kepulauan kecil itu.

Tidak semua pulau itu dihuni manusia, namun aktiviti percutian dan sukan laut di sini tentunya meriah dengan adanya kira-kira 200 pulau yang didiami manusia!

Rata-rata landskap di kepulauan Maldives dilatari pokok-pokok kelapa, pantai berpasir putih dan terumbu karang yang menjadi habitat penyu. Cuaca panas sepanjang tahun menjadikannya lokasi percutian menyeronokkan serta boleh dikunjungi pada bila-bila masa sahaja.

Penduduk Maldives amat menyukai pelancong dan mengalu-alukan kedatangan pelancong dengan mesra. Apatah lagi, di kepulauan peranginan itu, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantara, sekali gus memudahkan komunikasi rakyat tempatan dengan pelancong.

Bagaimanapun, kecantikan kepulauan Maldives adalah sebab utama yang menarik penunjung ke sana. Maldives dianggap lokasi percutian mewah kerana semua kelengkapan dan kemudahan di kepulauan itu diimport.

Namun, Maldives juga menyediakan percutian bajet kepada mereka yang ingin berjimat. Contohnya di Kandooma, Biyadhoo Island Resort atau Fihalhohi Tourist Resort bagi mereka yang mempunyai bajet di bawah RM1,000.

Tidak sah sekiranya tidak menyertai aktiviti menyelam apabila berkunjung ke pulau peranginan itu. Di kepulauan Maldives aktiviti memancing, selam skuba, snorkeling, belayar dan polo air menjadi antara kegiatan riadah kegemaran pelancong yang mahu memenuhkan jadual percutian mereka.

Bulan Jun hingga September adalah waktu paling sesuai untuk para peluncur menyelusup ke dalam tiub ombak kerana pada waktu itu, ombak boleh mencapai ketinggian antara satu hingga 2.4 meter.

CALET terapung menawarkan percutian romantis menghadap lautan biru.

 

Kejernihan air lautnya tidak dapat ditandingi, malah pelancong dapat melihat dengan jelas ikan-ikan yang berenang-renang sehingga kadangkala mencapai jarak 50 meter. Selain itu, terumbu karangnya yang besar menjadi benteng ombak besar semasa musim monsun.

Kelebihan-kelebihan itu menjadikan Maldives sebagai kepulauan yang mempunyai antara terumbu karang tercantik di dunia. Ia percutian sempurna untuk aktiviti selam skuba.

Ketika menyelam skuba pula, panorama dasar laut yang didiami ribuan spesies ikan pasti mengujakan penyelam. Apa sahaja spesies yang ingin dilihat sama ada udang kecil, ikan-ikan pelbagai warna dan jerung terdapat di sana.

Bagaimanapun, untuk keseronokan yang lebih, sudah tentulah latihan menyelam diperlukan. Di kepulauan Maldives, semua resort menyediakan asas latihan menyelam menggunakan peralatan menyelam yang diselenggara dengan baik dan mempunyai standard yang tinggi.

Justeru, walaupun tidak berkesempatan mengambil lesen menyelam, dengan latihan singkat dan diiringi tenaga pengajar, keselamatan penyelam ketika berada di dasar laut tidak perlu dirisaukan.

Aktiviti menyelam biasanya dilakukan di sepanjang faru (terumbu karang) dan di sepanjang thila (akuarium tenggelam seperti terumbu) yang mempunyai laluan menuju ke laut.

Matahari terbenam

SELAIN skuba dan snorkeling, pelancong boleh menaiki bot untuk singgah ke pulau-pulau kecil berdekatan resort.

 

Suasana romantis di sana bermula seawal 5.45 pagi kerana pada waktu inilah matahari terbit, tetapi prosesnya berlaku dengan pantas memandangkan panorama seakan-akan berubah-ubah pada setiap saat.

Sekiranya memilih percutian di Club Med di Kani, pemandangan matahari terbenam paling menarik sekiranya disaksikan di kawasan Sunset Bar. Matahari senja seakan-akan terbenam di depan mata.

Selain menjadi lokasi wajib ketika matahari terbenam, Sunset Bar yang dibuka dari pagi hingga malam turut menyediakan hidangan barbeku pada waktu tengah hari.

Restoran lain yang boleh dikunjungi di sana ialah Restoran Velhi, Restoran Kandu dan Iru Bar sama ada untuk sarapan, waktu snek, makan tengah hari, makan malam atau makan lewat malam.

Maldives ialah syurga untuk meraikan bulan madu. Momen indah bersama pasangan di pantai yang indah bagaikan tiada penghujungnya.

JIKA pelancong mudah terpesona dengan keindahan Maldives melalui aktiviti skuba dan snorkeling, penyu juga menjadikan pantai berpasir di kepulauan itu sebagai tempat mendarat dan bertelur.

 

Makan malam di bawah bintang sambil diterangi cahaya lilin, meneroka pulau tidak berpenghuni atau sekadar bermalasan di banglo peribadi antara pengalaman penuh intim. Tidak kurang nikmatnya apabila bersama-sama mendapatkan rawatan spa di bilik.

Ingin saat intim yang tidak mungkin dilupakan? Apa kata habiskan masa berenang atau menyelam di sekeliling rumah terumbu.

Kos percutian di Maldives walau bagaimanapun, memuncak pada musim perayaan Krismas dan tahun baharu, manakala harga merudum sekitar bulan Mei hingga November kerana ombak agak tinggi dan kadangkala hujan.

Bagi mereka yang gemar meneroka, selain menghabiskan masa di pulau, terdapat beberapa tarikan lain yang boleh dilihat di sana seperti menjelajah ibu kota Male kerana terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Grand Friday Mosque.

 

Posted March 17, 2012 by iqmarl in Berita

Tagged with

%d bloggers like this: