Author Archive

Masa untuk Redang!

Oleh KARL SHAFEK IBRAHIM


PANTAI Pulau Pinang yang landai, berair jernih dan pasirnya memutih.


 

TERENGGANU sememangnya amat kaya dengan seni kebudayaan, makanan yang enak dan keunikan tata cara hidup masyarakatnya yang setiasa memanggil para pencinta agenda percutian.

Dalam mempertaruhkan landskap semula jadi yang memukau, rangkaian pulau-pulau indah seperti Pulau Kapas, Lang Tengah, Perhentian mahupun Redang tidak terkecuali.

Lokasi popular tersebut pasti dipenuhi pelancong domestik dan luar negara sepanjang Mac sehingga Oktober setiap tahun. Itulah waktu terbaik untuk menikmati keindahan permata-permata Terengganu itu selepas musim monsun berakhir.

Pulau Redang merupakan salah satu daripada sembilan buah pulau di Terengganu. Pulau terbesar itu adalah destinasi selaman skuba yang cukup terkenal selain menjadi tapak pemuliharaan penyu yang penting. Ia juga diwartakan sebagai Taman Laut di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.

Jeti Merang

Untuk ke Pulau Redang, perjalanan menaiki bot dari Jeti Merang di Setiu mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja.

Kewujudan Pulau Redang dikelilingi landskap tambahan dari pulau-pulau di sekitarnya iaitu Pulau Lima, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Ekor Tebu, Pulau Ling dan Pulau Pinang.

Tidak lengkap acara bercuti di Redang kalau tidak menyertai aktiviti selam skuba! Antara tapak tumpuan penyelam skuba yang popular di situ adalah Tanjung Lang, Tanjung Tokong, Tanjung Gua Kawah, Pasir Panjang dan Batu Mak Cantek.

Selain dapat menyaksikan keindahan batu karang dan hidupan marin, beberapa bangkai kapal bersejarah iaitu H.M.S Putera Wales dan H.M.S Repulse yang karam di radius perairan Redang turut menjadi daya tarikan. Kehadirannya yang mengimbas kisah lara Perang Dunia Ke-2 memberi cabaran kepada penyelam yang mahu membongkar gambaran tepat tentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Selain selam skuba, pelancong juga boleh melakukan aktiviti santai seperti berenang di pantai, mencandat sotong, snorkeling mahupun memancing. Semuanya terpulang pada kemahuan dan jadual acara masing-masing.

Tarikan penginapan

Infrastruktur yang lengkap juga menjadikan Redang sebagai destinasi ideal untuk seisi keluarga merasai hembusan bayu Laut China Selatan. Puluhan hotel dan resort tersedia untuk menjadi tempat penginapan di sana.

Masing-masing berlumba-lumba memberikan pakej dan perkhidmatan serta permandangan terbaik untuk tetamu mereka. Pilihan terletak di tangan pengunjung iaitu sama ada hanya mahu berkhemah mahupun tidur di hotel mewah!

Pulau Pinang yang terletak berdekatan dengan Pulau Redang adalah permulaan bagi petempatan manusia di gugusan pulau tersebut. Pulau kecil itu dahulunya merupakan perkampungan nelayan sebelum penduduknya dipindahkan ke Pulau Redang.

Jika ingin bersnorkeling, memadai jika berenang di bawah jetinya untuk disapa ratusan ikan karang yang bewarna-warni dan jinak! Kalau bernasib baik, pengunjung mungkin berpeluang melepaskan sendiri anak-anak penyu yang baru menetas ke laut.

Kunjungan bersama keluarga di Redang perlu dipenuhkan dengan aktiviti riadah pantai. Semua itu dapat mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan yang mungkin terabai lantaran kesibukan jadual kerja di kota.

Pantainya memang selamat untuk kanak-kanak dan sudah pasti si comel pun gembira berlari-lari di atas pasir yang putih bersih itu.

Bagi sesetengah golongan muda yang gemarkan konsep percutian di bawah matahari, Pulau Redang bukanlah asing kerana kebanyakan yang berkunjung ke sini ialah golongan pengunjung berulang. Ketenangan dan kedamaian di Redang adalah penyuntik semangat untuk mengembalikan kesegaran minda.

Biru bercahaya

Mahukan pengalaman yang berbeza? Cubalah berjalan di gigi ombak pada waktu malam kerana ada sesuatu yang menarik menanti di tapak kaki ketika anda memijaknya.

Di satu bahagian pantai yang dipanggil Blue Sand, ada sesuatu tarikan istimewa yang menjadi sebutan ramai. Pasir pantai itu akan kelihatan seperti mengeluarkan cahaya biru bersinar-sinar apabila ombak menghempas ataupun apabila dipijak.

Ia sebenarnya adalah jutaan plankton Bioluminescent Ostracods yang akan memancarkan cahaya jika ‘diganggu’.

Ia memang sesuatu yang mengasyikkan sehinggakan penduduk setempat berseloroh bahawa pasir biru itu sangat digemari pelancong yang ingin memikat pasangannya. Lazimnya, si lelaki romantik akan menyerahkan pasir biru bercahaya itu ke tangan wanita yang diingininya!

Sebelum meninggalkan lokasi percutian ini, apa kata singgah dahulu ke Kuala Terengganu yang cuma mengambil masa perjalanan kurang sejam dari Jeti Merang. Banyak lokasi pelancongan sehenti di sini termasuk Taman Tamadun Islam yang menempatkan replika bangunan-bangunan indah bercirikan Islam dari serata dunia.

Oh ya, keropok lekor juga wajib untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Advertisements

Posted March 30, 2011 by Keluarga82 in Berita

Pantai Puteri dilanda Malong

Oleh Nasir Abd Wahab dan Zulhilmi Hat
pix_gal0
LEBIH 10,000 pengunjung termasuk kira-kira 1,300 pemancing membanjiri Pantai Puteri, Melaka bagi memeriahkan dan menyahut cabaran Karnival Pra GP Joran 2011 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM46,500 pada 5 dan 6 Mac lalu.

Persiapan selama sebulan oleh tuan rumah nyata membawa banyak kelainan kepada Pantai Puteri apabila diberi pujian kalangan pengunjung dan pemancing yang terhibur dengan acara santai seperti permainan tradisional dan aktiviti jualan di gerai penaja.

Meskipun hanya 62 ikan dengan berat keseluruhan 19.39 kilogram dinaikkan, namun ia tetap memberi kepuasan kepada 40 pemenangnya yang membawa pulang habuan lumayan berupa wang tunai dan hamper barangan penaja.

Bagi Mohd Azlan Othman, 27, yang membawa pulang RM20,000 selaku juara, tidak menyangka malong membantunya muncul juara kerana pada awalnya hanya mensasarkan pari, selepas mengakui menjadi keliru dengan kehadiran begitu banyak malong di pantai itu pada pagi berkenaan.

Situasi serupa dihadapi dua rakan pemenang tempat kedua dan ketiga, iaitu Samsuri Sulaiman, 45, yang juga menaikkan malong untuk membantunya meraih RM10,000 selaku naib juara manakala Sahdeli Jeli, 28, agak bertuah apabila menang di tempat ketiga dengan jenahak seberat 0.90 kilogram.

Kemunculan sejumlah malong yang begitu banyak (27 ekor) pada sebelah pagi, mencemaskan kebanyakan peserta yang masing-masing bertarung mengelak kekeliruan apabila spesies sesirat turut mencelah sebagai pengacau.

Spesies sesirat amat dibenci setiap pemancing pantai mahupun laut kerana bau hanyirnya dikatakan boleh menjauhkan sama sekali spesies ikan yang diburu.
Kekalutan itu nyata menguji kemahiran kebanyakan peserta yang tali umpannya dibelit sesirat terpaksa memotong sebahagian tali pancing masing-masing bagi mengelak hanyir ikan itu melekat sekali gus menjauhkan ikan lain mendekati umpan.

Jika tahun sebelumnya, kebanyakan peserta diuji dengan kehadiran ikan buntal yang menggigit tali pancing peserta, kali ini mereka turut diuji dengan kehadiran sesirat yang mirip malong sehinggakan ada sesirat yang turut dihantar ke meja hakim untuk ditimbang meskipun ia tidak termasuk dalam kategori ikan yang dipertandingkan.

Situasi kembali normal menjelang jam 11 pagi apabila gelama, tetanda, daun baru, gerut-gerut dan jenahak mula menggetu umpan menyebabkan suasana kalut kembali reda dan tumpuan mengail ikan besar seperti pari kembali diberi tumpuan tetapi hampa apabila tiada seekorpun spesies berkenaan ditewaskan.

Posted March 21, 2011 by Keluarga82 in Berita

Rezeki Pintu Gedung

Oleh Tamizam Abdul Karim
IKAN merah dan tebal pipi yang berjaya dipancing selepas kejadian tsunami melanda Jepun.
IKAN merah dan tebal pipi yang berjaya dipancing selepas kejadian tsunami melanda Jepun.

SEHARI selepas kejadian tsunami terbaru melanda Jepun, penulis bersama dua sampan masing-masing berkuasa kuda 90 mengharungi perjalanan dari jeti Persatuan Pengail menuju ke lubuk kapal berlabuh di Pintu Gedung, Pelabuhan Kelang untuk menduga sama ada kejadian itu memberi kesan di perairan sebelah sini.

Memandangkan perancangan dibuat pada sebelum kejadian gempa bumi,

maka kami tetap teruskan perjalanan selepas tiada kedengaran amaran tsunami melepasi Selat Melaka. Namun jauh di sudut sanubari, penulis merasa kurang yakin dengan potensi tangkapan kerana pengalaman pada kejadian tsunami melanda Banda Aceh dahulu kelibat ikan menyepi.
Ketika kejadian 2004 itu, penulis berada di tengah laut Pulau Batu Putih apabila arus tsunami merentasi laut menuju ke pantai Selat Melaka selepas meranapkan beberapa perkampungan nelayan di utara Semenanjung.

Ketika kejadian itu berlaku, kami tertanya-tanya ke mana perginya ikan kerana Pulau Batu Putih terkenal dengan ikan gerepoh yang gadang-gadang saiznya.

Namun trip hari itu membuatkan kami bingung sejenak kerana khazanah menyepi akibat kuasa arus tsunami yang lalu di kawasan tersebut.
Kali ini, 24 jam selepas kejadian melanda Jepun, kami sudah berada lubuk kapal labuh seawal pagi. Tidak banyak kelibat sampan pemancing lain di kawasan tersebut pada hari itu ia amat berbeza berbanding hari biasa yang menyaksikan ramai pemancing bertandang.

Tanpa membuang masa, kami masing-masing memilih lokasi dan mula
melabuhkan umpan kurita hidup.

Kedalaman air di kawasan kapal berlabuh ini diantara 30 meter hingga 49 meter dan kami memilih kawasan bertubir dengan tompokan batu karang kecil.

Saiz batu karang di sini kecil kerana tidak sempat membesar akibat digesel sauh kapal serta masalah pukat harimau.

Hanya tompok-tokpok karang kecil ini menjadi pilihan yang ada untuk kaki pancing seperti kami mencuba nasib. Dua jam pertama memancing, nyata tiada getuan ke atas umpan sama sekali. Sotong kurita tidak terusik. Kami berpindah berulang kali namun getuan sang ikan tetap sunyi.

Menjelang tengahari bahang semakin terasa, adakah ini ada kaitan dengan tsunami?. Takkan enam batang joran dihulur ke dasar tiada sambutan dari penghuni.

“Mana perginya ikan’’ katanya seorang rakan sambil mengarau pancing untuk
berpindah ke lokasi lain tanpa disangka seekor anak gegerut 500 gram tersangkut kat mata pancing.

Degan hasil itu, kami yakin dan membuat kesimpulan sendiri bahawa Selat Melaka tiada kesan tsunami.

Sekali lagi kami berpindah dan kali ini jauh menuju ke arah tengah selat kira-kira 20 minit perjalanan.

Tiba di lubuk, sekali lagi sotong kurita hidup dipertaruhkan. Kurang dari 15 minit memancing, joran milik penulis dan Kamal melentur serentak. Umpama orang mengantuk disorong bantal, selepas lima jam sejak dari pagi memancing barulah ada perlawanan disajikan. Kamal terlebih dulu berjaya menewaskan jenahak skala 4.1kg diikuti penulis dengan tangkapan ikan kerapu 3.2kg.

Hingga lewat petang kami berjaya menjinakkan lima ekor lagi ikan merah, seekor jenahak dan seekor ikan tebal pipi sebelum pulang ke jeti pada lewat petang.

Setidak-tidaknya hasil ini menunjukkan rezeki 24 jam selepas tsunami dan kami percaya arus tsunami tidak menimpa Selat Melaka.

Posted March 21, 2011 by Keluarga82 in Berita

Lambaian Langkawi

Oleh KARL SHAFEK IBRAHIM


SHAFEK dan Fizo bersama ikan yu yang jinak di Pulau Payar.


 

TERKENAL sebagai destinasi percutian bertaraf dunia, Pulau Langkawi terus giat mengekal dan memperbaharui aset pelancongannya. Bukan sekadar diwarnai kisah legenda dan godaan aktiviti beli-belah bertaraf bebas cukai, permata Kedah itu terus menggamit hati pengunjung melalui pelbagai tarikan istimewa.

Dilatari kekuatan kisah sumpahan Mahsuri suatu ketika dahulu, Langkawi sangat indah dengan pemandangan pantai membiru, gunung-ganang menghijau dan sawah padi yang terbentang luas.

Mengelilingi keseluruhan pulau itu pastinya agenda wajib. Dari Pekan Kuah ke Pantai Chenang, hinggalah ke Padang Mat Sirat dan seterusnya ke Tanjung Rhu, pelbagai keseronokan sedia menanti. Itu belum lagi menilai satu persatu daripada rangkaian 99 buah pulau kecil yang bertaburan di sekitarnya.

Antara yang menarik adalah Pulau Payar yang terletak 19 batu nautika di selatan Pulau Langkawi dan mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit menaiki feri dari Jeti Kuah. Ternyata ia adalah salah satu pulau yang cantik untuk dilawati untuk aktiviti air.

Turut diwarta sebagai Taman Laut Pulau Payar, ia hanya dibuka kepada 120 orang pengunjung setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 4 petang. Pelbagai spesies ikan boleh ditemui ketika sesi snorkeling di situ, namun tarikan utamanya adalah berenang bersama ikan yu yang jinak!

Dari atas jeti sudah dapat dilihat kelibat ikan yang disangka ganas itu kerana ia sering berenang hampir di permukaan air yang jernih.

Terumbu karang di taman laut itu juga antara yang paling indah boleh didapati di pantai barat Semenanjung Malaysia. Tidak hairanlah ia menjadi salah satu pilihan penyelam skuba untuk meneroka dunia dasar laut di Langkawi. Ternyata taman laut ini mampu memberikan kepuasan, tambahan lagi apabila dapat melihat ikan-ikan karang eksotik pelbagai jenis dan warna yang sangat menawan ketika menyelam.


PEMANDANGAN indah Pulau Langkawi yang boleh dilihat sewaktu berada di pelantar Gunung Machincang.


 

Ke puncak gunung

Selain Gunung Raya, Gunung Machincang yang dinamakan sempena kisah legenda tempatan juga menjanjikan keunikan pemandangan indah seluruh Langkawi. Di kaki gunung itu terletaknya Oriental Village yang menempatkan stesen kereta kabel untuk ke puncak gunung tersebut. Kenderaan itu membawa pengunjung ke ketinggian 708 meter dari aras laut dan jarak yang menghubungkannya ke puncak Machinchang adalah 2.2 kilometer.

Sepanjang perjalanan menuju ke puncak gunung, mata disajikan dengan pemandangan hutan hujan yang menghijau, Air Terjun Telaga Tujuh, laut membiru dan kumpulan pulau-pulau yang membentuk Pulau Langkawi. Saat mendekati Stesen Tengah pula, pemandangan indah formasi batuan unik yang berumur sekitar 450 juta tahun boleh dilihat.

Sementara itu, di stesen teratas, pengunjung boleh bersiar-siar di pelantar tinjau yang melengkung di puncak Gunung Machincang. Sesiapa sahaja pasti kagum dengan pemandangan yang dramatik dari pelantar berukuran 125 meter panjang itu.

Keju Langkawi

Sesuatu yang memeranjatkan apabila diberitahu bahawa di Langkawi juga ada pusat penghasilan keju mozarella!

Proses penghasilan keju daripada tenusu kerbau itu dilakukan di destinasi agro-pelancongan, Kampung Nyior Chabang yang telah dibangunkan sebagai pusat penternakan kerbau pada tahun 2004.

Lebih dikenali sebagai Buffalo Park Langkawi, di situ terdapat beberapa pengusaha yang menghasilkan produk keju dan kini ia semakin mendapat perhatian.

PELANCONG boleh memberi makan ikan sewaktu berkunjung ke Pulau Payar.


 

Proses penghasilan keju itu melalui beberapa tahap sebelum ia sedia untuk dipasarkan. Menyaksikan sendiri langkah dan kaedah keju dihasilkan merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Kini, tidak perlu lagi kita ke Itali untuk melihat cara keju dibuat!

Kalau punya waktu terluang, singgahlah ke Kompleks Kraf Langkawi di Teluk Yu yang menjadi pusat sehenti produk-produk kraf tangan keluaran tempatan. Daripada batik, ukiran kayu sehinggalah ke kristal Langkawi yang autentik boleh didapati di situ. Lebih menarik, pengunjung akan ditunjukkan cara membuat hasil kraf berkenaan.

Tanpa bayaran masuk dikenakan, kompleks itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Apapun yang anda lakukan, atau di mana sahaja persinggahan di Langkawi, pasti ada sesuatu yang istimewa untuk setiap pengunjung.

 

Posted March 21, 2011 by Keluarga82 in Uncategorized

Transformasi tanaman padi bukit

Oleh AMRIZAN MADIAN


PASANGAN Bonnie Mbuh Udal dan Raoh Gangkum dari Kampung Gahat Mawang meneliti padi bukit yang telah matang dan sedia dituai.


 

PADI bukit sememangnya diakui menghasilkan beras yang berkualiti tinggi. Menyedari akan potensi penanaman padi bukit yang menghasilkan beras lebih baik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melaksanakan projek percubaan meningkatkan potensi hasil padi bukit di Kampung Gahat dan Kampung Sepadah Bau di Sarawak.

MARDI cuba menyuntik pelbagai teknologi baru dalam penanaman padi bukit di Sarawak yang biasanya dilakukan di kawasan lereng bukit dan kawasan tanah beralun. Petani padi bukit juga kebiasaannya menjalankan pertanian secara berpindah-randah dengan kaedah tebang dan bakar hutan.

Ketua projek tersebut Dr. Sariam Othman berkata, projek yang dilaksanakan itu melibatkan transformasi teknologi dalam penapakan tanaman, pengurusan pembajaan, pengurusan rumpai, pengurusan penyakit dan perosak selain mekanisasi penanaman dan penuaian.

Projek yang bermula sejak September 2009 dijangka berakhir pada Ogos tahun ini dengan objektif utamanya ialah untuk menambah dan meningkatkan pendapatan penanam padi bukit.

Variasi padi bukit yang ditanam mempunyai jangka masa matang yang panjang iaitu kira-kira 150 hari dan tidak memberi gerak balas kepada pembajaan.

Kadar minimum

Padi bukit ditanam untuk tujuan sara diri sahaja di Sarawak iaitu kadar penggunaan input yang sangat minimum dengan purata hasil hanya sekadar 720 kilogram sehektar.

Sariam berkata, 21 petani dari Kampung Gahat terbabit dalam projek itu yang melibatkan kawasan seluas 10.8 hektar. Projek itu juga dijangka bertambah dengan penyertaan lebih ramai peserta.

“Pada musim 2010/2011 jumlah petani terlibat dalam projek ini meningkat kepada 27 orang melibatkan kawasan seluas 15 hektar selain pembabitan beberapa petani di Kampung Sepadah Bau melibatkan kawasan seluas 3.75 hektar,” katanya.

Menurut Sariam berdasarkan kajian musim pertama (tanaman musim 2009/2010) projek di Kampung Gahat memperoleh hasil purata sebanyak 916 kilogram sehektar iaitu purata peningkatan hasil 24.1 peratus berbanding 737 kilogram sehektar sebelum ini.

Projek di Kampung Sepadah Bau pula menunjukkan pencapaian yang lebih membanggakan apabila memperoleh hasil sebanyak 2,012 tan sehektar iaitu peningkatan 42.4 peratus berbanding 1,419 kilogram sehektar.

“Hasil tanaman kedua (2010/2011) di Kampung Gahat dituai pada Februari lepas, sementara Kampung Sepadah Bau pada April ini,” katanya.

Meningkatkan hasil


PENGGUNAAN mesin tuai menjimatkan tenaga dan masa petani.


 

Sariam berkata, pihak MARDI telah mengemukakan beberapa cadangan kepada penanam padi bukit untuk membolehkan mereka meningkatkan hasil sekali gus, memajukan lagi penanaman padi bukit di Sarawak pada masa akan datang.

Antara cadangan itu termasuklah menggalakkan penanam padi bukit menerapkan amalan pertanian yang lebih sistematik melalui penanaman padi bukit dalam petak, tidak berpindah-randah serta tidak membakar hutan untuk membuka kawasan tanaman baru.

Petani juga perlu diberi jaminan pasaran daripada Padi Beras Nasional (Bernas) jika mereka dapat meningkatkan hasil padi bukit.

Penanam padi bukit, Bonnie Mbuh Udal, 56, berkata kaedah yang diperkenalkan oleh MARDI memang baik dan terbukti banyak memberi perubahan kepada cara penanaman padi bukit di Kampung Gahat.

Sebelum ini kebanyakan penanam padi bukit berhadapan pelbagai masalah seperti tapak yang tidak sesuai, pokok yang mudah tumbang serta kesukaran untuk menanam dan menuai hasil.

“Saya yakin padi bukit memang ada potensi dan jika teknologi ini berjaya, pasti ia dapat meningkatkan lagi hasil padi bukit di Sarawak,” katanya.

Raoh Gangkum, 57, berkata dia amat menyokong usaha MARDI memperkenalkan teknologi baru dalam penanaman padi bukit yang kini hanya diusahakan oleh kebanyakan penduduk yang sudah berusia.

Minat golongan muda dalam penanaman padi bukit adalah sangat kurang dan ia memang satu kerja yang sukar terutama ketika membuka kawasan tanaman baru dan kerja menanam serta menuai hasil.

“Mana ada anak muda yang mahu buat kerja ini (tanam padi), tapi kalau ia dapat mengeluarkan hasil yang lebih lumayan, saya pasti keadaan akan berubah suatu hari nanti,” katanya.

Dana buat MARDI

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, MARDI yang mendapat pembiayaan Dana TechnoFund berjumlah RM1.3 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dipertanggungjawab untuk memperkenalkan teknologi terkini dalam penanaman padi bukit di Sarawak dan Sabah.

Ujar beliau, MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta sokongan daripada kerajaan negeri Sarawak juga bercadang untuk mengembangkan lagi projek tersebut ke beberapa kawasan tanaman padi bukit di Sri Aman, Sarikei dan Kapit yang melibatkan kawasan hampir 12,000 hektar.

Jika projek tersebut berjaya ia akan dapat membantu mengubah nasib penanam padi bukit di Sarawak yang majoritinya masih menggunakan kaedah pertanian tradisional.

– Bernama

Posted March 21, 2011 by Keluarga82 in Berita

Seni sumpit

Oleh Ramli Ibrahim
Sumpit buluh hasil tangan Orang Asli Kampung sumpit. Jedip, di Gua Musang, siap untuk dijual.

Sumpit buluh hasil tangan Orang Asli Kampung sumpit. Jedip, di Gua Musang, siap untuk dijual.

 

Kemahiran warisan, teknik pembuatan antara kelebihan produk Kampung Jedip, Gua Musang

MENGHASILKAN sumpit buluh bukan sesuatu yang mudah dilakukan kerana ia memerlukan kemahiran tinggi serta membabitkan kerja tangan yang berkualiti bagi mengukir setiap batang sumpit supaya ia kelihatan menarik dan cantik.

Masyarakat Orang Asli mempunyai kepakaran dalam menghasilkannya kerana alat itu sudah digunakan sejak zaman nenek moyang mereka lagi malah sumpit banyak kegunaan bagi kaum terbabit untuk memburu haiwan di hutan serta sebagai senjata menjaga keselamatan ahli keluarga.

Orang Asli di Kampung Jedip, di Gua Musang, antara kampung yang terkenal dengan pengeluaran sumpit serta mempunyai dua tenaga mahir dalam membuat peralatan itu bagi dipasarkan di merata tempat.

Kemahiran yang ada pada Atan Along, 50, dan Harun Sayang, 40, menjadikan perniagaan mereka yang dikongsi bersama di tepi jalan Gua Musang – Cameron Highlands sebagai tumpuan utama orang ramai terutama pelancong asing.

Malah, gerai mereka juga menyediakan tempat untuk orang ramai dan pelancong mencuba sumpit itu sebelum membelinya.

Kemahiran Atan dan Harun menghasilkan sumpit buluh berkualiti adalah diwarisi daripada orang tua mereka sehingga ia menjadi punca pendapatan utama.
Bagi menghasilkan sumpit yang berkualiti, ia bergantung kepada buluh tua yang panjang serta lurus supaya tidak mengambil masa lama untuk dibentuk dan perlu dijemur terlebih dulu untuk dikeringkan.

Harun yang ditemui di gerainya berkata, selepas dijemur beberapa jam, proses seterusnya adalah meletakkan buluh itu berhampiran api supaya ia lebih berkilat.

“Proses ini sebenarnya tidak rumit, tetapi perlu penelitian supaya buluh itu tahan lama dan tidak menjadi rapuh atau dimakan ulat.

“Hanya selepas itu barulah ia digosok dengan kertas pasir bagi menghalus keseluruhan buluh terbabit.

“Selepas itu baru diukir dengan pelbagai bunga menggunakan kepakaran yang ada, tetapi perlu ada kesabaran kerana kerja mengukir adalah paling rumit dan jika tidak dihalusi ia boleh menjadi rosak sekali gus hilang tarikan,” katanya.

Harun berkata, sumpit yang dihasil itu dijual antara RM25 hingga RM70 itu mendapat sambutan terutama pelancong asing.

“Saya dan Atan mampu menyiapkan antara tiga hingga lima sumpit sehari bergantung kepada corak lukisan dan jika corak lebih kreatif serta menarik mengambil masa sedikit.

“Namun, kita mampu memenuhi permintaan pelanggan hingga ada ketikanya ia habis di borong pelancong asing untuk dibawa balik ke negara mereka,” katanya.

Atan pula berkata, pelancong akan diajar cara menggunakan sumpit di tempat yang disediakan sebelum membelinya supaya mereka mahir sebaik dibawa pulang ke negara mereka.

“Setiap pelancong yang datang begitu gembira apabila saya mengajar cara menggunakan sumpit dan mereka sebenarnya cepat pandai,” katanya.

Posted March 8, 2011 by Keluarga82 in Berita

Soalan SPM   3 comments

SPM

  • (updated 22/10/2011)

Koleksi MRSM bole didapati di sini. KLIK..

Semakan Keputusan Peperiksaan Klik

Bahasa Malaysia

Bahasa Inggeris

Matematik Tambahan

Matematik

Fizik

Kimia

Sejarah

Pendidikan Agama Islam

Biologi

Prinsip Akaun

Posted March 2, 2011 by Keluarga82 in SPM

Tagged with

%d bloggers like this: