Archive for the ‘Seni Tangan’ Category

Cipta bonsai daripada pokok terbuang

Oleh Hartini Mohd Nawi
KOMBINASI...setiap tanaman bonsai mempunyai karakter menarik.
KOMBINASI…setiap tanaman bonsai mempunyai karakter menarik.

SUASANA landskap hijau bagaikan terapi semula jadi yang memberikan ketenangan dan kedamaian sepanjang masa tidak kira pagi, petang atau malam.

Berada dalam persekitaran segar dan menyamankan tanpa mengira konsep penataan tentunya membuatkan anda lupa dengan kesibukan kota.

  • Foto

BENTUK KARAKTER…antara bonsai menarik yang mencuri perhatian.

  • Foto

HIDUP SUBUR…kehijauan bonsai serlahkan keindahan taman.

  • Foto

MEMERLUKAN MASA…tanaman bonsai melalui beberapa tahap tumbesaran.

  • Foto

TERAPI KETENANGAN…bonsai unik jadi perlambangan pemiliknya.

  • Foto

RIMBUNAN…setiap bonsai mempunyai karakter menarik.

  • Foto

TERSENDIRI…ada juga yang ditanam terus di atas tanah.

Kehadiran bonsai unik di taman pula mengungkapkan daya tarikan tersendiri selain menggambarkan pemiliknya mencintai keindahan alam.

Seni bonsai dikatakan berasal dari China ketika pemerintahan Dinasti Tsin dan semakin meluas ke Dinasti Tang.
Ketika Dinasti Yuan pula ramai pegawai kerajaan, pelajar, dan pedagang dari Jepun yang membawa seni bonsai itu ke negerinya.
Pada 1309, seni bonsai di Jepun mula menjadi satu fenomena baru, digilai dan digemari kebanyakan masyarakatnya.

Ia juga sinonim dengan masyarakat Cina dan perkataan bonsai adalah cantuman perkataan ‘bon’ bermaksud pasu serta ‘sai’ bermaksud ditanam.

Dalam hasrat menzahirkan keindahan taman, Ambran Ismail, 52, lebih selesa dengan menampilkan keunikan bonsai yang ditanam sendiri.

Penataan taman di kediaman yang terletak di Kampung Seri Delima, Kepong, Kuala Lumpur itu kelihatan berbeza dan menggamit sesiapa saja untuk singgah.

“Antara pengalaman menarik ketika dikunjungi individu berbangsa Cina yang ingin membeli bonsai yang saya tanam ini dengan tawaran harga yang tinggi.

“Disebabkan terlalu meminati dan melihat keindahan bonsai sebagai nilai estetika alam yang sukar dijual beli, saya tidak berhasrat menjualnya,” kata Ambran.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula berjinak-jinak dengan tanaman bonsai pada pertengahan 1995 dan ketika itu mendapat dorongan adiknya, Roslan.

Bagi Ambran, tanaman bonsai mempunyai kelainan tersendiri dan aura hijau yang diserlahkan menerusi rimbunan daun adalah simbolik ketenangan semula jadi.

“Sejak mendiami kediaman ini pada 1975, taman hanyalah berlandskap biasa tanpa memberi tumpuan khusus hinggalah saya benar-benar serius menanam bonsai.

“Buktinya, saya sanggup pergi sendiri ke Perlis semata-mata untuk mendapatkan pokok kesinai untuk dijadikan bonsai yang menarik,” kata pesara kerajaan itu.

Dia juga sanggup mengutip pokok yang terbuang dan berpotensi dijadikan bonsai asalkan menarik perhatiannya serta boleh dimanfaatkan.

Hasilnya, pokok yang dibuang itu kini bertambah subur dan hidup segar sebaris dengan tanaman bonsai lain di taman kediamannya itu.

“Matlamat utama dalam pembentukan bonsai adalah untuk menghasilkan satu keadaan semula jadi atau bahan hidup yang digunakan untuk melahirkan perasaan.

“Ia juga seni yang perlu ditatap keindahannya tanpa diganggu gugat tanaman lain yang ada di sekitarnya,” kata Ambran.

Biar pun hanya menempatkan lebih kurang 16 tanaman bonsai sebagai melatari penataan taman di kediamannya itu, suasana tetap redup dan hijau kerana reka bentuk dan kesuburan tanaman berkenaan.

Dua pokok bonsai yang berada di kiri dan kanan pintu masuk utama kediaman itu sudah cukup menggambarkan keharmonian dan kedamaian sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Apatah lagi pasu besar yang menampung tanaman berkenaan mempunyai karakter seni tersendiri hingga mencuri perhatian sebaik dipandang.

Kini Ambran mampu tersenyum puas kerana saban waktu berpeluang melihat sendiri tahap tumbesaran tanaman bonsai itu bermula dari proses awal hingga membentuk rekaan yang diinginkan.

Dia yang banyak menghabiskan masa setiap hari dengan menyelenggara setiap tanaman bonsainya itu mengakui komitmen tinggi perlu diberikan jika seseorang itu benar-benar mencintai landskap bonsai.

“Sebut saja bonsai, semua tahu tanaman berkenaan memerlukan komitmen sepenuhnya bermula dengan penanaman dan penyelenggaraan termasuk penyiraman dan pembajaan.

Sementara sumber untuk mendapatkan bahan tanaman pula membabitkan dua cara melalui pokok atau renek yang sudah matang atau melalui biji benih serta keratan.

Bonsai yang sudah lama ditanam dalam pasu boleh diubah menjadi bentuk bonsai hanya dalam beberapa jam saja tetapi memerlukan masa bertahun-tahun untuk menjadi bonsai sebenar.

Tanaman berkenaan turut menjalani perubahan dan bukan sekadar hanya ditanam satu pokok semata-mata, tetapi ia turut berubah dengan peredaran zaman.

Ditambah dengan kreativiti individu, menjadikannya pilihan kebanyakan pemilik kediaman yang mempunyai laman terhad.

Posted February 22, 2011 by Keluarga82 in Berita, Seni Tangan

Seni Kayu

ketinggian seni ukiran kayu

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
Gambar Azlan Bahrum
 

Burhan Ashaari menunjukkan perabot ukiran yang dihasilkannya di Seni Kayu Warisan, Pulau Rusa.

 

 


SENI ukiran kayu kini bukan sekadar perusahaan di belakang rumah tetapi menjadi industri yang berpotensi berkembang mengikut peredaran masa apatah lagi menerusi ukiran yang disesuaikan dengan pelbagai cita rasa dan keperluan semasa.

Salah satu medan terbesar bagi para pengusaha memaparkan hasil kerja mereka dan meluaskan pasaran adalah melalui Hari Kraf Kebangsaan dan buat kali kesembilan ia bakal berlangsung selama 13 hari bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac ini.

Lokasinya di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Program tahunan itu amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh usahawan yang terbabit namun pengunjung dari dalam dan luar negara.

Penganjuran pada tahun ini bakal memberi peluang kepada kira-kira 500 usahawan dalam pelbagai bidang dan 150 daripadanya adalah usahawan bidang hasil rimba untuk mempromosi produk mereka sekali gus menjana pendapatan.

Salah seorang pengukir kayu ternama, Wan Mustafa Mustafa Wan Su di Alor Lintang Besut akan mengambil bahagian pada hari tersebut untuk mengabadikan simbol-simbol alam dalam karyanya yang diterjemahkan secara halus dan berseni.

Wan Mustafa atau lebih dikenali sebagai Wan Po merupakan Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003 dan pemilik Balai Seni Wan Po. Beliau merupakan anak kepada pengukir yang mempunyai warisan tersendiri, Wan Su Othman seorang Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan pernah dinobatkan Tokoh Seni Negara 1997.

Menerapkan prinsip tidak mahu karya-karyanya sama seperti orang lain bahkan bapanya sendiri, Wan Po berusaha membawa identiti sendiri dengan mengetengahkan ukiran seumpama lukisan hidup atau lebih mudah dipanggil lukisan tiga dimensi namun masih mengekalkan penggunaan awan larat yang sinonim dengan ukiran Melayu.

Beliau kini boleh berbangga kerana hasil-hasilnya gah digunakan seperti di Panca Persada Istana Maziah di Kuala Terengganu, Terengganu, Hiasan dalam Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang dan hiasan dalaman di Muzium Negeri Terengganu.

Beliau yang turut mengakui industri seni ukiran kayu pada masa kini perlu memberi kebebasan generasi muda dalam mengintepretasi karya mereka tanpa melupakan lenggok seni sesuatu ukiran.

Seorang lagi pengukir kayu, Norhaiza Nordin, 48, yang juga Pengarah Urusan Bengkel Seni Ukir Bakawali mengakui amat sukar mencari generasi muda yang berminat dan mempunyai ‘roh’ dalam seni ukiran itu.

berguru

Beliau yang pernah berguru dengan enam pengukir tersohor negara meminta masyarakat lebih menghargai seni yang sering dimomokkan dengan nilai tinggi dan tidak mampu dimiliki.

“Jangan berbicara tentang harga yang mahal jika anda buta menilai seni ukiran kayu. Hanya mereka yang mempunyai maruah sahaja mengerti seindah mana seni ukiran kayu itu dipandang,” jelasnya.

Melihat puluhan hasil ukiran kayu di ruang pameran di pejabatnya, memberi satu perspektif bahawa beliau mengangkat maruah bangsa Melayu di tempat tertinggi melalui ukiran tersebut.

Beliau yang turut dilantik sebagai Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia 2008 itu cuba membawa identitinya sendiri dengan menggabungkan keenam-enam ajaran gurunya bagi menghasilkan ukiran kayu yang amat indah.

Nama Norhaiza bukanlah asing dalam industri seni ukiran kayu apabila kemuncak hasil karyanya menjadi penghias di Muzium Negeri Terengganu Taman Lagenda Langkawi, Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, Masjid Mukah di Sarawak dan Istana Melawati Putrajaya selain turut ditempatkan di Auditorium dan Galeri Oxford Centre of islamic School di Universiti Oxford, United Kingdom.

Burhan Ashaari, 56, Pengarah Urusan SeniKayu Warisan yang mengusahakan perniagaan perabot berasaskan seni ukiran kayu di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, mengakui HKK banyak membantu mempromosikan perabot buatan syarikatnya.

Biarpun baru enam tahun bertapak di dalam bidang ini yang lalu namun sambutan pengguna terhadap perabot keluarannya amat menggalakkan dan ini mendorongnya untuk terus melangkah jauh. “Setiap kali menyertai HKK, saya mendapat pelbagai tempahan dari seluruh negara dan yang paling penting dapat berkongsi idea dengan peminat industri ini,” katanya.

Menceritakan bagaimana beliau bermula, ujarnya minat mendalam terhadap seni ukiran kayu mendorongnya mengusahakan perniagaan tersebut dengan menampilkan pelbagai koleksi perabot bermotifkan seni ukiran kayu yang lebih moden.

Posted February 21, 2011 by Keluarga82 in Berita, Seni Tangan

%d bloggers like this: