Archive for August 2011

Air garam penawar racun

Oleh SYALMIZI HAMID

KANAK-KANAK lebih berisiko mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa.

 

BAZAR Ramadan tidak pernah gagal menarik pengunjung dengan variasi juadah buka puasanya. Namun, seorang murid perempuan di Meru, Klang, Selangor, Nurdini Mohamad Ali, 11, meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas makan makanan yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di situ.

Selain Nurdini, ahli keluarganya yang lain turut mengalami simptom keracunan makanan setelah menikmati hidangan berbuka puasa yang sama.

Makanan yang dijual di tempat terbuka seperti bazar Ramadan dan pasar malam adakalanya mendedahkan pengguna kepada keracunan makanan lebih-lebih lagi apabila peniaga kurang mementingkan kebersihan dan kesegarannya.

Justeru, Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Wendy Lim menasihatkan orang ramai agar berhati-hati memilih makanan yang dibeli di luar.

“Saya tahu apabila berdepan dengan pelbagai hidangan yang lazat kadang-kadang kita terlupa untuk memeriksa tahap kebersihannya.

“Sebenarnya tidak susah untuk menilai kualiti sesuatu makanan berdasarkan bau dan rasanya. Jika ia berasa dan berbau masam, elakkan memakan makanan tersebut.

“Sebahagian makanan yang dijual di bazar Ramadan selalunya dimasak dan dijual lebih awal dari waktu berbuka puasa dan ia mudah rosak,” ujarnya kepada Jurnal.

AIR garam mengembalikan keseimbangan bendalir badan.

 

Menurut Wendy, keracunan makanan adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus, bakteria dan parasit yang akhirnya menjadi toksik berbahaya kepada perut.

Virus

“Organisma tersebut mudah merebak melalui cecair dan makanan yang kotor.

“Antara jenis virus, bakteria dan parasit yang terlibat termasuklah rotavirus, adenovirus, E. Coli, salmonella, shigella dan giardia,” ujarnya.

Disebabkan organisma tersebut mudah merebak melalui minuman dan air, Wendy menyarankan agar pengguna memilih gerai minuman yang mengamalkan kebersihan.

“Contoh makanan yang kurang bersih adalah minuman air tebu. Selalunya batang tebu yang dilonggokkan itu akan terus diperah bersama-sama kulitnya untuk mendapatkan jus.

“Cuba bayangkan bagaimana ia dihidangkan dalam keadaan begitu sedangkan virus dan bakteria mudah merebak?

“Selain itu, air batu juga sering menyebabkan masalah keracunan makanan kerana kebanyakannya disediakan dengan air yang tidak dimasak terlebih dahulu,” katanya lagi.

MAKANAN yang terdedah senang dicemari.

 

Jelas Wendy, antara golongan berisiko kepada kematian setelah mengalami keracunan makanan adalah kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, golongan warga emas dan mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

“Golongan itu sangat berisiko untuk mengalami dehidrasi yang melampau akibat keracunan makanan. Kanak-kanak mudah mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa,” jelas Wendy.

Justeru apabila berdepan dengan simptom keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah dan keletihan akibat dehidrasi selepas beberapa jam menikmati juadah, Wendy menyarankan agar pesakit menjalankan rawatan sendiri sebelum berjumpa doktor.

Jelasnya, minum air bergaram mampu mengembalikan keseimbangan bendalir badan yang terhidrat akibat muntah dan cirit-birit.

“Garam penting kerana ia dapat mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh.

“Anda boleh melakukannya sendiri. Campurkan sedikit garam dan gula bersama air sejuk untuk diminum. Tidak salah untuk meletakkan sedikit perasa kepada minuman itu.

“Namun, sebaik-baiknya anda harus bersedia dengan ubatan berkaitan seperti larutan garam dehidrasi yang boleh didapati di farmasi dan minum banyak air masak,” katanya sambil menambah, kaedah tersebut tidak mengubati keracunan makanan sebaliknya bagi mengembalikan kandungan garam dalam badan.

Posted August 24, 2011 by marlmansoor in Berita

Khazanah dasar laut

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


 

RATUSAN tahun dahulu, ribuan kapal telah belayar merentasi Selat Melaka dan Laut China Selatan. Destinasi mereka adalah untuk mencari tanah baharu namun sebahagian besar daripadanya ingin berdagang dengan dunia luar.

Tidak hairanlah pada abad ke-15, perairan laut negara dipenuhi kapal yang membawa banyak barang dagangan. Sungguhpun begitu, tidak semuanya selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Ada kapal yang karam di lautan sama ada disebabkan bocor terlanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.

Sejak dari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak kapal yang membawa pelbagai harta karam di perairan negara.

Pakar arkeologi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr. Adi Taha pernah berkata, keadaan geografi dan sejarah perdagangan di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim berupa kapal karam dan harta karun.

“Bagaimanapun, ia bukanlah jongkong atau berlian sebaliknya pinggan mangkuk yang diperbuat daripada seramik, tembikar, senjata, wang syiling selain pelbagai barang dagangan pada zaman itu,” katanya.

Gading gajah

Antara usaha terawal dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung 1970-an apabila Kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran Chendering.

Kapal yang karam kerana terkena tembakan peluru berpandu itu tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut. Kerja penyelaman dijalankan dan lakaran bentuk kapal itu berjaya dihasilkan.

Sementara itu, antara penemuan terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dicatat pada 1980-an apabila bangkai kapal dagang Risdam ditemui di perairan Mersing, Johor.

Kapal dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) seberat 520 tan itu dibina pada tahun 1713 dan didapati karam pada 1727 akibat kebocoran.

Khazanah harta kapal karam yang ditemui dalam kapal itu adalah 90 batang gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua tembikar Thailand.

SUDAH terbenam di dasar laut untuk tempoh lama, sauh ini asalnya dipenuhi dengan teritip.

 

“Operasi menyelamat khazanah kapal karam atau salvaj telah dijalankan oleh H.C Besancon iaitu ahli Butch East Wreck Foundation.

“Mereka mendesak kerajaan Belanda supaya satu rundingan dilakukan dengan kerajaan Malaysia untuk melakukan salvaj namun tidak berjaya.

“Akibatnya, mereka melakukan salvaj secara haram.

“Atas nasihat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, laporan itu telah dihantar kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Jabatan Kastam dan Eksais serta Kerajaan Negeri Johor,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Muzium Negara, Samsol Sahar.

Tidak menolak tanggapan bahawa muatan kapal karam memiliki nilai komersial tinggi, bagi Jabatan Muzium, ia sangat berharga kepada negara, jelas Samsol.

Biarpun Risdam pernah diteroka pada tahun 1984, namun kerja-kerja sistematik mengikut kaedah arkeologi maritim hanya dimulakan pada tahun 1995 apabila Jabatan Muzium dan Antikuiti membuat kerja-kerja menyelamat khazanah terhadap kapal perang Belanda, Nassau di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Serpihan artifak yang ditemui oleh para nelayan ketika memukat ikan menjadi petanda ada kapal karam di situ.

Berbulan-bulan

Berkongsi pengalaman tentang bagaimana operasi salvaj dilakukan, pembantu muzium, Mohd. Suparman Mohd. Miskan berkata, ia tidak semudah kerja ekskavasi di daratan.

“Walaupun ada ratusan kapal yang karam di perairan negara, setakat ini Jabatan Muzium baru melakukan operasi salvaj ke atas 13 buah kapal dengan bantuan pakar dari syarikat swasta.

“Sebelum turun membuat kerja-kerja salvaj, banyak perkara yang perlu kami lakukan. Ini termasuk mengenal pasti lokasi kapal karam menggunakan pengimbas sisi sonar.

“Bukan mudah untuk menjumpai kapal karam kerana ia sudah ditimbusi pasir. Ada kapal tenggelam sehingga 63 meter di dasar laut.

“Keadaan seperti itu menyebabkan kami terpaksa mengambil masa sehingga berbulan-bulan sebelum dapat berjumpa dengan lokasi tepat,” katanya yang mengangap batu dan kayu balak dapat mengelirukan sistem pencarian yang digunakannya.

“Apabila sampai ke lokasi tepat, kami akan memasang grid menggunakan tali dan besi bagi memudahkan skala pencarian dan kerja mendokumentasi.

“Selepas semuanya selesai, baru kami menyelam untuk mencari dan mengumpulkan artifak,” katanya yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam operasi salvaj.

Ular

Selain menyelamat, artifak yang ditemui perlu didokumentasikan.

SETIAP artifak yang ditemui mempunyai kisah sejarah yang tersendiri.

 

“Seperti di darat, kami akan melukis penemuan di setiap tapak grid mengunakan pensel dan papan slip khas untuk mendapat gambaran lebih jelas tentang sejarah kapal tersebut,” katanya.

Selain Suparman, Mohd. Edry Awang Gani yang juga pembantu muzium, turut terlibat dalam misi salvaj.

“Kami akan turun secara berkumpulan dan bergilir-gilir.

“Kami tidak boleh terlalu lama di dasar laut kerana tangki oksigen boleh bertahan di antara setengah jam hingga satu jam sahaja,” katanya.

Di samping menyelam dan melukis, para penyelam akan memasukkan semua barang yang dijumpai ke dalam bakul sebelum ditarik ke atas.

Sampai saja tiba di atas, artifak yang kebanyakannya seramik dan porselin akan asingkan mengikut jenis sebelum dibersihkan.

“Ada artifak yang perlu direndam dengan air suling untuk membuang garam.

“Ada juga yang tidak boleh terdedah kepada persekitaran daratan dan terpaksa direndam untuk tempoh yang lama seperti hulu pedang dan sarung keris,” katanya yang mengakui kerja salvaj telah mengubah persepsinya tentang apa yang mungkin ada di dasar laut.

“Di bawah sana memang gelap, bahkan boleh dikatakan sangat gelap sehinggakan ada kawan di sebelah pun kita tidak perasan.

“Pernah juga ada penyelam daripada syarikat swasta yang dipatuk ular laut. Kami juga terdedah dengan sengatan obor-obor.

“Namun, seronok juga bekerja di bangkai kapal yang telah menjadi tempat tinggal ribuan ikan dan batu karang,” katanya.

Posted August 22, 2011 by marlmansoor in Berita

Jaket penyejuk badan

PEMAKAI akan kelihatan sedikit pelik kerana jaket tersebut akan menggelembung apabila digunakan.

 

KUCHOFUKU yang bermaksud ‘pakaian berhawa dingin’, telah menerima tempahan yang tinggi ekoran catuan tenaga elektrik di Jepun selepas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu pada 11 Mac lalu.

Permintaan terhadap produk yang mampu memberi kelegaan kepada tubuh badan daripada haba panas semakin meningkat dan mendapat perhatian.

Salah satunya ialah jaket Kuchofuku. Dua kipas elektrik di dalam jaket tersebut boleh dikawal untuk menyedut udara pada kelajuan yang berbeza, sekali gus membuatkan pakaian itu kelihatan kembung.

Walaupun kelihatan sedikit pelik disebabkan gelembung itu, setakat ini tiada pengguna yang mengeluh berpakaian sedemikian kerana lebih suka berasa sejuk berbanding kelihatan sedikit unik.

“Saya bekerja di tempat yang sangat panas dan perlu memakai pakaian lengan panjang, sebab itu saya datang ke sini untuk membeli jaket ini untuk kekal sejuk ketika bekerja,” kata Ryo Igarashi yang ditemui ketika keluar dari pejabat Kuchofuku Sdn. Bhd. selepas membeli sepasang jaket berhawa dingin.

Igarashi, 33, menyatakan pakaian tersebut menawarkan kelegaan kepadanya yang bekerja di tapak pembinaan yang terdedah pada cuaca panas.

Hampir 1,000 syarikat di Jepun menggunakan Kuchofuku termasuklah syarikat gergasi automobil, pengeluar keluli, syarikat makanan dan firma pembinaan.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menjual kusyen dan tilam berhawa dingin yang menggunakan sistem jaring plastik paten Kuchofuku yang membolehkan udara mengalir sambil menyokong berat badan.

Bateri untuk 11 jam

Produk tersebut dianggap paling signifikan sejak loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi ditutup gara-gara terjejas teruk dek bencana. Gangguan terhadap bekalan tenaga elektrik menyebabkan kerajaan mengisytiharkan syarikat-syarikat besar di Tokyo dan wilayah utara Tohoku wajar mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 15 peratus.

Inisiatif tersebut secara tidak langsung tidak memerlukan para pekerja menanggalkan tali leher atau menaikkan suhu penyaman udara untuk keselesaan semasa bertugas.

ICHIGAYA (kiri) menunjukkan dua buah kipas yang terdapat di belakang jaket Kuchofuku.

 

Lebih menarik, ia juga memberi kesejukan kepada pekerja buruh di tapak pembinaan.

Berdasarkan laporan pihak kastam, import kipas elektrik melalui pelabuhan Tokyo mencecah rekod tertinggi pada bulan Mei. Ia melambung sebanyak 70 peratus daripada tahun sebelumnya pada 1.24 juta unit.

Jelas Presiden syarikat Kuchofuku Sdn. Bhd., Hiroshi Ichigaya, kipas-kipas di dalam jaket Kuchofuku disambungkan pada pek bateri lithium-ion yang mampu bertahan selama 11 jam untuk sekali cas, menggunakan sedikit tenaga yang digunakan oleh alat penyaman udara konvensional.

Kata Ichigaya lagi, pakaiannya itu mengurangkan rasa panas dan menawarkan penyelesaian bertentangan iaitu seseorang akan berasa lebih sejuk sekiranya memakai baju yang lebih tebal berbanding membuka pakaian.

“Orang ramai kini cuba memakai senipis mungkin pakaian seperti kempen Super Cool Biz. Tetapi apabila menyarung Kuchofuku, lebih tebal fabrik jaket itu, tubuh anda akan lebih dingin,” kata Ichigaya.

Sebanyak 20 liter udara sesaat akan berputar melalui jaket dan keluar menerusi kolar dan lengan baju bagi mengeringkan peluh dan menyejukkan tubuh badan si pemakai.

Idea mencipta jaket penyejuk badan peribadi tersebut mula bermain di fikiran jurutera Sony, Ichigaya selama dua dekad sebelum pada awal tahun 1990-an, dia berusaha mencipta alat penghawa dingin yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit.

“Idea ini muncul apabila memikirkan bahawa kita tidak memerlukan suhu yang sejuk untuk segenap ruang bilik. Apa yang penting individu yang berada di dalam merasai kedinginan itu,” katanya

Kuchofuku yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2004, telah menarik perhatian dan mendapat permintaan tinggi daripada pihak pengilang dan syarikat pembinaan. Menariknya baru-baru ini, mereka turut menerima tempahan yang banyak daripada kumpulan pekerja yang bekerja di pejabat dan suri rumah.

Jaket penyejuk udara bersaiz standard dijual pada harga 11, 000 yen (RM422), manakala saiz yang lain dijual pada harga yang lebih tinggi. – AFP

Posted August 22, 2011 by marlmansoor in Berita

Tradisi Masjid Kampung Hulu

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


 

MASJID Kampung Hulu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka sudah berusia 283 tahun. Rumah Allah yang dibina oleh seorang pendatang dari negara China itu sudah merentasi beberapa zaman. Namun, reka bentuk dan struktur konkritnya masih utuh dan tersergam indah.

Masjid Kampung Hulu tidak pernah sunyi sehingga kini. Alunan ayat-ayat suci al-Quran sentiasa bergema di corong-corong pembesar suara.

Para jemaahnya pula merentasi benua. Wajah-wajah unik dari Tanah Arab mahupun dari China sesekali mendominasi ruang masjid tertua di Melaka itu. Ketika Ramadan, syiar Islam di Masjid Kampung Hulu dikatakan lebih terkesan dan terserlah.

Baru-baru ini penulis bersama jurufoto, Abdul Razak Latif berpeluang merasai aura Ramadan di sana. Sebaik para jemaah selesai menunaikan solat Asar, para jemaah lelaki berkumpul di beberapa sudut masjid.

Ada yang sibuk menyusun pinggan mangkuk dan cawan plastik. Tidak kurang pula yang berhempas-pulas mengalih dan mengangkat beberapa periuk besar dari bara api.

Seorang budak lelaki pula sedang sibuk mencedok bubur lambuk. Sementara lelaki yang serius wajahnya, khusyuk menyusun kurma di atas sebiji pinggan.

Selepas itu, datang seorang lelaki berkulit sawo matang dan berketayap mengangkat dua biji dulang yang dipenuhi nasi dengan kedua-dua belah tangannya.

Pada petang yang mendung itu, rumah Allah itu bertali arus didatangi oleh pelbagai manusia yang entah dari mana. Mereka dilihat menghantar bungkusan makanan. Tanpa sebarang pesan, mereka meletakkan bingkisan itu di tepi tangga dan terus beredar.

Sukarelawan masjid

Namun seorang lelaki India Muslim yang memikul beberapa kampit beras sempat membisikkan sesuatu kepada seorang pegawai masjid.

“Ya, pada bulan Ramadan ini, ramai datang bersedekah, murah rezeki masjid ini, Alhamdulillah.

KATA Abdullah, Masjid Kampung Hulu merupakan satu-satunya masjid di Melaka menggunakan beduk untuk menandakan azan Maghrib sudah masuk waktu.

 

“Sekarang, saya dan beberapa sukarelawan masjid sedang menyediakan persiapan untuk berbuka puasa untuk para jemaah, tapi sebenarnya kita dah mula sejak awal pagi,” kata norja Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abdul Kadir, 62, kepada Kosmo!.

Hubungan antara masjid itu dan Abdullah sangat akrab. Dia mengetahui serba-serbi mengenai rumah Allah tersebut.

Topik perbualan kami pada petang itu terarah tentang rutin Ramadan di masjid tersebut. Kata anak jati Melaka ini, Masjid Kampung Hulu masih mengekalkan stail makan dalam dulang sejak hampir tiga abad yang lampau.

“Zaman dulu, masjid ini pakai material yang dibawa khas dari China tapi sekarang semua dah pecah.

“Sehingga kini, kita tak pernah terfikir untuk ubah tradisi itu (makan dalam dulang), cuma jemaah perempuan saja kita tukar makan pakai pinggan tapi jemaah lelaki tetap sama,” jelasnya yang dilantik menjadi norja sejak 12 tahun lalu.

Abdullah tidak berseorangan dalam mengurus masjid itu. Dia dibantu oleh seramai lima hingga lapan sukarelawan yang ikhlas dan tidak kisah melakukan kerja-kerja secara percuma.

Pada setiap hari, norja memberitahu, 50 dulang makanan disediakan untuk majlis berbuka puasa. Sebanyak 40 dulang untuk lelaki dan bakinya untuk jemaah wanita.

“Menu kita ialah nasi bukhari, nasi putih, kari, kurma, tembikai, air panas dan air sejuk. Selebihnya datang daripada orang ramai dan akan diagih-agihkan secara adil kepada semua orang,” ujarnya yang membeli keperluan melalui dana masjid dan hasil derma orang ramai.

Apakah menariknya makan sedulang? Menurut pendakwah bebas, Hashim Awaludin, makan secara berjemaah akan mewujudkan hubungan yang baik.

“Makan sedulang berupaya mengeratkan hubungan sesama insan.

“Rasulullah sering makan sedulang dengan anggota keluarganya kerana Maha Pencipta menjanjikan keberkatan kepada mereka yang mengamalkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Cerita musafir

Melihat jemaah yang berwajah asing, berbeza pemakaian dan loghat percakapan, Abdullah ditanya tentang tetamu-tetamu Allah itu.

“Ya, ada antara mereka terdiri daripada musafir yang datang dengan tujuan. Tidak ketinggalan ada orang yang sesat dan yang bermunajat, kita sambut dengan hati terbuka” katanya.

SETIAP hari, pihak masjid akan menyediakan 50 dulang untuk para jemaah yang datang bertandang ke sini.

 

Abdullah terus bercerita. Ujarnya, sejak zaman berzaman, setiap kali Ramadan, masjid itu akan diimarahkan dengan ibadah yang tidak pernah putus sejak fajar mula menyingsing sehingga lewat pagi.

Jemaah bukan saja didorong menunaikan solat sunat tarawih dan bermoreh, tetapi diajak bersama-sama menyemarakkan majlis witriah.

“Witriah adalah bacaan puji-pujian kepada Allah pada bulan Ramadan dan kalau hendak tahu, Masjid Kampung Hulu saja merupakan satu-satunya masjid yang mengekalkan amalan ini,” ujar Abdullah.

Hal itu diakui oleh Setiausaha Biro Ekonomi Masjid Kampung Hulu, Yusop Tambri. Yusop yang juga kariah masjid tersebut sejak berumur 12 tahun berkata, tempat ibadat itu sememangnya dekat di hati masyarakat Kampung Hulu.

“Masjid ini sungguh istimewa dan gemar dilawati umat Islam lebih-lebih lagi terdapat makam Sayyid Abdullah Al-Haddad,” katanya. Sayyid Abdullah Al-Haddah ialah seorang guru agama dan mempunyai ilmu tasawuf yang tinggi. Beliau dianggap sebagai wali Allah pada sekitar tahun 1800-an.

Sedar tidak sedar, langit semakin gelap. Itu menandakan azan Maghrib akan berkumandang pada bila-bila masa.

Abdullah mengenakan songkok lantas menaiki tangga untuk memukul beduk yang terletak betul-betul di atas gerbang masjid.

Layanan baik

Dia tidak hentam kromo mengalunkan irama sebaliknya nada irama yang dipalunya ada oktaf tersendiri.

“Beduk atau gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat pada zaman dulu hanya terdapat di masjid ini,” katanya sambil memberitahu paluan beduk hanya layak disempurnakan oleh pegawai masjid sahaja.

Sebaik azan dilaungkan, kurma dijamah dan tanpa mengenal latar belakang, empat individu berkongsi nasi yang dihidangkan dalam satu dulang.

Sudah terbiasa makan di masjid, seorang jemaah Myanmar yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, memberitahu, kemiskinan hidup telah mengheretnya ke masjid tersebut.

“Saya bersyukur kerana orang masjid di sini melayan orang luar dengan baik,” katanya.

Seorang jemaah wanita, Latifah Awang, 51, berkata, masjid itu telah mengikat hubungan persaudaraan dengan para jemaah lain.

“Selain gembira makan bersama, kami sesama jemaah sudah menjadi kawan baik,” katanya yang sering ke masjid tersebut sejak dua tahun lalu.

Siti, 27, yang tinggal di Peringgit, Melaka pula sanggup hadir ke masjid kerana baginya aura masjid itu sungguh mempesona dan sukar didapati di mana-mana.

Meskipun Masjid Kampung Hulu dikelilingi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina, ia sedikit pun tidak mengganggu keharmonian masjid ini.

Seperti kata Yusop: “Orang Cina di sini tak pernah merungut sebaliknya mereka sentiasa mengharapkan masjid ini meriah. Mereka kata itu boleh dijadikan sebagai panduan mereka bangun untuk mula bekerja.”

 

Posted August 22, 2011 by marlmansoor in Berita

Masjid Hassan II, Casablanca

Masjid Hassan II, Casablanca, Maghribi: Seolah-olah sujud atas air

TINGGI....menara Masjid Hassan II tertinggi di dunia iaitu dengan ketinggian 210 meter.
TINGGI….menara Masjid Hassan II tertinggi di dunia iaitu dengan ketinggian 210 meter.

MASJID Hassan II adalah masjid terbesar di Maghribi dan masjid kelima terbesar di dunia selepas Masjidil Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah, Masjid Muhammad Ali Pasha atau Masjid Alabaster di Kaherah dan Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia.

Masjid Hassan II terdiri daripada lima elemen utama iaitu ruang masjid yang menggabungkan sebuah dewan sembahyang, kawasan mengambil wuduk, mandian air panas dan bilik mesyuarat serta bilik orang kenamaan.

  • Foto 
  • FotoLUAS…kawasan sekitar masjid yang mampu menampung sehingga 80,000 jemaah.

Rekaan masjid berkenaan dibuat Michel Pinseau, seorang arkitek dari Perancis manakala binaan masjid ini pula disiapkan syarikat Bouygues, sebuah kumpulan industri dari negara yang sama.

Pembinaan masjid ini dimulakan pada 12 Julai 1986 dan dirasmikan pada malam peringatan Maulid Nabi iaitu 11 Rabiulawal 1414 Hijrah bersamaan 30 Ogos 1993.

 Masjid Hassan II mempunyai pengaruh Moor yang kuat dan seni bina masjid ini seakan-akan sama dengan seni bina di istana Alhambra dan Masjid Cordoba di Sepanyol.
 Semua bahan yang digunakan untuk menyiapkan masjid berkenaan seperti marmar, granit, kayu dan bahan lain diambil dari seluruh pelosok Maghribi.

Kecuali tiang granit putih dan lampu kristal yang didatangkan khas dari Itali, lebih 30,000 juruteknik, tukang batu dan tukang kraf bekerja selama 50 juta jam sepanjang tujuh tahun tempoh pembinaannya.

Masjid ini dibina di atas Lautan Atlantik atas permintaan Raja Hassan II, sebahagian daripada lantai ruang utama masjid terbabit dibuat daripada kaca.

Menariknya, apabila jemaah bersolat di atasnya mereka akan berasa seolah-olah sedang sujud di atas permukaan air. Keistimewaan lain yang terdapat pada Masjid Hassan II ialah di bahagian menaranya.

Menara Masjid Hassan II mempunyai menara masjid tertinggi di dunia dengan ketinggian 210 meter (689 kaki). Manakala menara masjid kedua tertinggi di dunia pula terletak di bandar raya Shah Alam iaitu menara Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan ketinggian 142.3 meter (460 kaki).

Ciri lain mengenai masjid berkenaan ialah ia dibina dengan teknologi mampu menahan gempa bumi. Lantainya dilengkapi pemanas agar pengunjung yang datang pada musim sejuk berasa selesa ketika menunaikan solat di dalamnya.

Pintu masjid yang besar dan atap yang boleh dibuka dan ditutup pula digerakkan dengan tenaga elektrik. Keluasan Masjid Hassan II mampu menampung 25,000 jemaah dalam satu masa.

Manakala sekitar masjid pula mampu menampung 80,000 jemaah dan keseluruhan bilangan jemaah yang mampu ditampung dalam satu-satu masa boleh mencecah 105,000 orang.

Posted August 8, 2011 by marlmansoor in Berita